Projek jambatan Labuan-Menumbok semakin menjadi realiti
Ruzaini Zulkepli
Januari 18, 2018 14:03 MYT
Januari 18, 2018 14:03 MYT
Pembinaan projek jambatan Labuan-Menumbok, Sabah kini semakin menjadi realiti selepas Perdana Menteri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 dan Pelan Transformasi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (LABUAN IBFC) pada hari ini.
Perdana Menteri turut menyifatkan pembinaan jambatan tersebut satu projek yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi rakyat di pulau bebas cukai itu sekaligus memberi manfaat besar kepada penduduk di Kepulauan Borneo.
Beliau, pada hari ini turut menyaksikan penyerahan surat lantikan perunding bagi kajian kebolehlaksanaan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan daerah kecil Menumbok di Sabah.
"Ia satu projek yang menyentuh hati setiap penduduk Labuan dengan menyaksikan langkah pertama penyerahan surat pelantikan untuk menentukan lantikan jambatan Labuan ke tanah besar Sabah yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018.
"Ini bukan kajian kemungkinan, bukan... tetapi kaedah pelaksanaan jambatan yang sudah diumumkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 dan Pelan Transformasi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (LABUAN IBFC) di Dataran Labuan, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.
Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan mengambil berat terhadap senario penduduk di Labuan yang kini amat terkesan dengan kejatuhan industri minyak dan gas yang menjadi faktor utama ekonomi di pulau bebas cukai itu sebelum ini.
"Memang ada pemulihan harga minyak namun usaha mempelbagaikan sumber ekonomi pulau ini perlu disegerakan dan jika tidak Labuan tidak akan mara ke hadapan.
"Dengan adanya jambatan ini nanti akan menyebabkan pelabur lebih yakin, maka berbaloilah kita membinanya dan saya harap kaedahnya dapat disiapkan tidak lama lagi," katanya.
Selain daripada gimik pelancaran pelantikan konsultan pembinaan jambatan itu, Perdana Menteri turut berkesempatan membuat pengumuman beberapa pelan projek seperti pembinaan 500 unit rumah mampu milik PPRT dan 165 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk penjawat awam di Batu Arang serta memeterai perjanjian pelan Labuan Grand Prix of the Sea sempena acara Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2018.
Pelan tindakan yang mengandungi 22 strategi itu akan mempelbagaikan dan merancakkan kembali sektor ekonomi Labuan yang terjejas teruk sejak beberapa tahun lalu selepas industri minyak dan gas merudum.
Beliau turut berharap, pelan berkenaan akan menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan bakal menjadi pulau bandar pintar, mampan, berdaya maju dan bersepadu dalam tempoh itu.
Sementara itu, dalam majlis terbabit juga, Najib turut berkesempatan menghadiri majlis makan tengah hari bersama rakyat selain menyaksikan beberapa gerai pameran yang diadakan di Dataran Labuan, sebentar tadi.
Lebih 30,000 penduduk di Labuan menghadiri majlis berkenaan yang bermula jam 9 pagi tadi dan turut diadakan persembahan pentas oleh artis-artis terkemuka seperti Ayda Jebat dan kumpulan Zero dari Maharaja Lawak selain program karnival rakyat.
#bajet
#cukai
#ekonomi
#Grand Prix
#harga minyak
#kastam
#kerajaan
#Malaysia
#menteri
#minyak
#Najib Razak
#Noh Omar
#operasi
#penjawat awam
#Rahman Dahlan
#rakyat
#Tengku Adnan Tengku Mansor