Projek jalan raya jadi tumpuan URDA - Nanta

Bernama
Oktober 11, 2024 07:45 MYT
Ketika di Kuching, Nanta (kiri) melawat projek milik Kementerian Pendidikan yang berjaya disiapkan Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya, melibatkan fasiliti pendidikan yang dinaik taraf bagi menggantikan dua sekolah daif. - Foto KKR
KUCHING: Usaha meningkatkan akses jalan raya antara agenda besar Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), kata pengerusinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata sebanyak 43 projek infrastruktur termasuk projek jalan, bekalan air serta kemudahan asas lain sedang dan telah dilaksanakan oleh agensi pembangunan terbabit.
"Kita mempunyai peruntukan RM1.5 bilion dan setakat ini sebanyak 13 (daripada 43) projek sudah siap dan ada dalam pelaksanaan.
"Projek besar kita adalah (membina) jalan raya di kawasan Belaga, Baleh, Kapit dan Song.
"Kita juga telah membangunkan makmal di semua daerah di bawah URDA untuk kita mengenal pasti projek yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Pengarah URDA di sini semalam.
URDA ialah sebuah agensi di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Sarawak yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017 untuk memacu pembangunan di kawasan meliputi Kapit, Kanowit, Song, Belaga dan Bukit Mabong, meliputi 41,186 kilometer persegi.
-- BERNAMA
#projek jalan raya #URDA #Alexander Nanta Linggi #Agensi Pembangunan Ulu Rajang
;