Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ditangguhkan dalam satu tempoh masa yang munasabah tanpa melibatkan pembayaran pampasan.

Jelasnya, persetujuan penangguhan dicapai dengan Kerajaan Singapura selepas beberapa siri rundingan diadakan.

Pada masa sama, pembayaran pampasan berkenaan hanya akan dikenakan jika Malaysia gagal melaksanakan projek HSR selepas tamat tempoh penangguhan.

“Ini perkembangan positif setelah beberapa siri rundingan dengan kerajaan Singapura, khususnya menteri (Singapura) yang bertanggungjawab.

"Kita capai sepakat bagaimana selesaikan pertindihan projek HSR,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

“Dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Singapura, perkara ini dibincangkan dan beliau gembira kerana kedua-dua negara telah bersetuju tangguh projek ini.

"Tidak ada pampasan yang perlu dibayar dalam tempoh penangguhan projek ini dan ia dibayar sekiranya di akhir tempoh penangguhan kita membatalkan projek.

"Ini satu pertimbangan yang baik dan wajar,” tambahnya.

Susulan itu, katanya, satu perjanjian melibatkan perkara berkenaan akan ditandatangani di ibu negara.

Mohamed Azmin berkata, dalam tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura meneruskan perbincangan termasuk mengambil langkah mengurangkan kos projek.

“Mungkin kita boleh guna teknologi yang baru atau melihat aspek lain, kerana HSR ada dua komponen, iaitu satu perkhidmatan antarabangsa Singapura-Kuala Lumpur dan satu lagi, perkhidmatan domestik melibatkan tujuh perhentian," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan bercadang untuk menumpukan perkhidmatan antarabangsa sahaja kerana ia memberikan kesan ekonomi yang baik kepada Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun beliau mengakui projek HSR memberikan kebaikan kepada Singapura dan Malaysia supaya ada satu jaringan lebih kuat untuk menjana ekonomi dalam tempoh panjang.

“Namun, dengan keadaan ekonomi negara semasa, tidak mungkin kita akan teruskan projek.

"Selepas mengadakan beberapa perbincangan, kerajaan Singapura setuju menerima pandangan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan projek ini sekiranya untuk satu tempoh.

"Kerana, dalam tempoh tersebut kita yakin ekonomi Malaysia akan kembali pulih,” tambah beliau.

Pada 30 Ogos lalu, Mohamed Azmin mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura.

Ia disusuli dengan pertemuan kata sepakat berhubung projek HSR dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.