KUALA LUMPUR:Susulan berakhirnya tempoh rundingan Projek Kereta Api Berkelajuan TInggi (HSR) KL-Singapura pada 31 Disember lalu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkongsi pandangan beliau terhadap pelbagai isu yang berkait dengan projek tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu telah terlibat secara langsung dalam perbincangan dua hala sejak enam bulan lepas, menjawab beberapa kebimbangan orang ramai berkait bayaran pampasan, projek KL-JB dan pelbagai lagi.
Mengapa pembatalan perjanjian projek HSR KL-Singapura adalah penyelesaian terbaik untuk Malaysia?
Ketika projek HSR dicadangkan pada tahun 2010 sebagai salah satu inisiatif Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) negara, tujuan utamanya ialah untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Singapura.
Projek HSR dijangka menjadi pemangkin dalam menggalakkan pelaburan, perdagangan, pelancongan dan aktiviti sosioekonomi bagi kedua-dua negara, sekaligus meningkatkan kesalinghubungan serta membolehkan Malaysia menjadi sebuah ekonomi yang berasaskan inovasi.
Perjanjian Dua Hala yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Disember 2016 menekankan hasrat untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih rapat antara dua negara.
Malaysia berhasrat untuk mencontohi kejayaan projek kereta api laju di beberapa buah negara seperti Tokyo-Osaka Shinkansen dan Taipei-Kaohsiung HSR, yang terbukti menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Jepun dan Taiwan.
Malah HSR juga akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon berikutan penurunan bilangan penumpang udara antara Kuala Lumpur dan Singapura – yang merupakan antara laluan udara tersibuk di dunia.
Pada masa yang sama, ia juga dijangka mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.
Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah segala-galanya. Pandemik ini telah memberikan cabaran amat besar kepada aspek kesihatan dan ekonomi yang belum pernah kita hadapi.
Tiada siapa yang dapat menjangka pandemik ini dan kesan teruknya ke atas ekonomi Malaysia dan seluruh dunia.
Keadaan ini telah memaksa kerajaan menilai semula projek HSR tersebut.
Projek ini telah ditangguhkan pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke 14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama Kerajaan.
Kerajaan ketika itu telah mengkaji semula pelaksanaan kesemua projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Vision Valley dan MRT3.
Kemunculan COVID-19 telah memaksa Kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan kos beberapa projek mega serta mengenal pasti strategi bagi memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.
Perkembangan ini menyebabkan syarat asal Perjanjian Dua Hala yang dimeterai pada tahun 2016, tidak lagi berdaya maju bagi Malaysia.
Kita terpaksa meneliti semula keseluruhan struktur projek dan model perniagaan yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
Pada bulan Mei 2020, pihak Singapura telah bersetuju untuk memberikan penangguhan terakhir bagi melaksana projek ini sehingga akhir tahun 2020.
Kita telah menggunakan ruang ini untuk mengkaji semula keseluruhan projek ini. Kajian itu termasuklah struktur projek, model perniagaan (business model), reka bentuk infrastruktur dan sistem.
Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, kita telah mencadangkan struktur baharu yang pada pandangan Malaysia bukan sahaja lebih kemas, malah model HSR yang dicadangkan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia, antaranya di Eropah, UK, Jepun dan Korea Selatan.
Cadangan struktur projek baharu itu juga mengelakkan Kerajaan daripada memberikan jaminan berjumlah RM60 bilion selama 30 tahun. Di samping itu, ia juga memberikan kita lebih banyak fleksibiliti dalam membiayai projek ini.
Selain daripada itu, kita juga telah mencadangkan beberapa perubahan lain. Ini termasuklah perubahan kepada jajaran dan reka bentuk stesen yang kesemuanya akan mengurangkan perbelanjaan kira-kira 30%.
Kesemua cadangan di atas dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mengekalkan faedah projek.
Satu lagi perkara yang menjadi pertimbangan ialah kemungkinan memulakan pembinaan projek ini dua tahun lebih awal.
Ini boleh membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID khususnya sektor pembinaan.
Ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil, sederhana dan berskala besar pada waktu yang genting ini.
Kerajaan juga mencadangkan perubahan yang akan membolehkan HSR dihubungkan dan diintegrasi dengan rangkaian pengangkutan Malaysia sedia ada dengan lebih berkesan.
Beberapa perbincangan yang intensif pada peringkat teknikal dan peringkat menteri telah diadakan sepanjang enam bulan yang lalu.
Perdana Menteri kita dan Perdana Menteri Singapura juga telah mengadakan sidang video pada 2 Disember 2020 lalu. Malangnya, kita gagal mencapai kata sepakat.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam perbincangan dua hala sejak enam bulan lepas, ingin saya tegaskan bahawa kami telah melakukan yang terbaik demi menjaga kepentingan negara.
Walau bagaimanapun, saya ingin berkongsi dengan semua bahawa perbincangan antara kedua negara telah berlangsung dalam suasana mesra dan membina.
Hubungan Malaysia dan Singapura adalah amat rapat dan kedua-dua negara berhasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan akrab ini.
Sesuai dengan hasrat tersebut, kita akan terus mengadakan perbincangan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara untuk manfaat bersama.
Walaupun perjanjian dua hala ini telah luput, Malaysia dan Singapura akan terus berkerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang mampan di kedua-dua negara.
Kemungkinan untuk menghubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diterokai.
Walaupun hasrat ini tidak tercapai sekarang, mungkin satu masa nanti.
Antara perkara yang banyak dibangkitkan oleh pelbagai pihak ialah pampasan.
Walaupun saya amat berkeinginan untuk berkongsi perinciannya, ianya tidak dapat dilakukan kerana jumlahnya belum dimuktamadkan lagi.
Sehubungan ini, saya ingin menegaskan bahawa pampasan tersebut bukanlah bersifat punitif, tetapi adalah untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan Singapura.
Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan.
Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telah pun dipersetujui bersama.
Namun begitu, jumlah pampasan tidak boleh didedahkan kerana dibawah Perjanjian Dua Hala, kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan.
Walau bagaimanapun, saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan.
Justeru itu, sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata.
Adakah projek keretapi laju KL-Singapura akan digantikan dengan projek keretapi laju KL-JB?
Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya.
Pada masa ini, apa-apa spekulasi mengenai projek keretapi laju KL-JB hanyalah spekulasi.
Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa mengutarakan pandangan beliau itu menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Kenyataan Media
Mon Jan 04 2021
Sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata. - Foto Astro AWANI
Program makanan percuma Indonesia jangkau 650,000 kanak-kanak setakat ini
Mulai Januari hingga April 2025, program ini menyasarkan 3 juta kanak-kanak. Menjelang April hingga Ogos 2025, ia akan mencapai 6 juta kanak-kanak.
AGM KLHA: Tandatangan didakwa palsu, sebuah persatuan hoki digantung
Terdapat dakwaan pemalsuan tandatangan dalam borang pencalonan menjelang AGM KLHA Sabtu ini.
Tiada lagi beregu veteran, Ahsan nangis tinggalkan gelanggang buat kali terakhir
Gandingan beregu veteran Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan, sah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia badminton.
AI ganti jutaan pekerjaan tetapi wujudkan ratusan juta lagi peluang - Timbalan Menteri Indonesia
Nezar Patria berkata, AI dan teknologi baharu lain dijangka menggantikan kira-kira 92 juta pekerjaan di peringkat global.
Tahun Baharu Cina: Hampir 3 juta kenderaan dijangka memasuki Perak
Nor Sham berkata jumlah trafik ke utara tanah air melalui Perak akan mengalami peningkatan bermula 27 dan 28 Jan.
Mohd Joehari mahu teruskan langkah positif Hamidin
Mohd Joehari berkata segala perancangan direncana Hamidin selama ini, disifatkan sudah cukup baik.
MIDF Amanah jangka inflasi Malaysia cecah 2.8 peratus pada 2025
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata antara perubahan dalam dasar termasuklah rancangan rasionalisasi subsidi kerajaan.
Kejuaraan ACC: KL City kalah 3-2 kepada kelab Vietnam
Skuad kelab Vietnam bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi pemain kebangsaan Nguyen Quan Hai.
DBKL urus terus lesen bazar Ramadan beri hasil baik kepada penjaja - Dr Zaliha
Inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
Permohonan bantuan kewangan program perpaduan secara dalam talian
Insentif bantuan kewangan kepada NGO bagi penganjuran program perpaduan akan diuruskan secara dalam talian menerusi portal bermula tahun ini.
Kementerian Luar dan UNAM bekerjasama untuk tingkatkan program kesedaran PBB di Malaysia
Kedua-dua pihak membincangkan cara memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan program yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai PBB.
"Saya sudah pencen" - Tok Pa sahkan tidak bertanding
Mustapa mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kerana memutuskan untuk 'pencen' daripada politik.
Mustapa Mohamed terima anugerah daripada kerajaan Jepun
Mustapa dianugerahi Grand Cordon of the Order of the Rising Sun daripada Kerajaan Jepun atas sumbangan beliau dalam hubungan Jepun-Malaysia.
Mustapa Mohamed dianugerah Ijazah Doktor Kehormat AeU
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Asia e University (AeU).
2.1 juta pekerja asing di Malaysia sehingga Jun tahun ini - Mustapa
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 2.1 juta warga asing yang bekerja dalam pelbagai bidang, berada di Malaysia setakat Jun tahun ini.
Warga asing: Bilangan menurun berbanding 2020
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan bilangan warganegara asing yang berada di Malaysia berkurangan daripada 2.7 juta orang pada 2020 kepada 2.4 juta tahun ini.
Malaysia mampu tawar banyak perkara berkaitan ekonomi halal, bidang lain dalam dunia Islam - Mustapa
Malaysia sebagai sebuah negara terkemuka dalam dunia Islam, mampu menawarkan banyak perkara terutama yang membabitkan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi.
Jumlah penganggur turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus
Kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.
Sektor pelancongan perlu dipertingkatkan, perkukuh ekonomi negara - Mustapa
Peruntukan RM200 juta menerusi Bajet 2023 bagi tujuan pemulihan sektor pelancongan dilihat salah satu usaha memulihkan ekonomi dalam negara.
Kerajaan semak semula kategori kumpulan pendapatan - Mustapa
Kerajaan akan menyemak semula kategori kumpulan pendapatan berdasarkan hasil Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas tahun 2022.