Projek Hidroelektrik Nenggiri: 19 KIR masih belum beri kata putus berkaitan penempatan semula

Pia Ernadya
Ogos 21, 2024 18:55 MYT
Muhamad Nazri (kanan) bercakap pada sidang media di Pos Tohoi di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI
GUA MUSANG: Kurang pemahaman yang jelas tentang projek Hidroelektrik Nenggiri, di sini antara faktor sejumlah 19 Ketua Isi Rumah (KIR) masih dalam rundingan menandatangani dokumen perjanjian pembinaan penempatan semula.
Menurut Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Muhamad Nazri Pazil, beliau mengambil cakna bahawa pihaknya perlu memperbanyakkan lagi pendedahan dan juga sesi perjumpaan mata ke mata bersama masyarakat Orang Asli.
Bagaimanapun beliau berkata setakat ini belum ada impak kepada masyarakat berkenaan kerana kerja-kerja pembinaan baharu berjalan sekitar 40.5 peratus.
“Mungkin dari pihak kita, kita perlu banyakkan lagi pendedahan dan juga sesi penjumpaan one to one. Kadang-kadang mungkin dia tersalah dari segi pemahaman, apa impak projek yang sedang dilaksanakan ini, mungkin dia ingat semua kawasan akan ditenggelami air tapi sebenarnya bukan begitu.
“(Contohnya) macam ada sungai di Pos Tohoi ini akan dibesarkan sedikit sahaja berbanding dengan kawasan-kawasan lain yang berhampiran dengan empangan,” jelasnya semasa sidang media di Pos Tohoi pada Rabu.
Ujarnya lagi, beliau berharap pendekatan demikian akan membuka mata mereka untuk lebih bersikap terbuka.
Pada masa sama, menurut Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Datuk Mohd Noor, beliau juga berpendapat bahawa kerisauan ini dapat dikurangkan jika pihak yang terlibat turut memainkan peranan yang penting untuk memberi informasi yang sahih tanpa elemen tokok tambah.
“Sebenarnya mereka tak dapat first hand information, (mereka) dapat dari sumber orang ketiga, keempat. Mereka risau tentang warisan mereka, tapak kawasan, kubur-kubur dan sebagainya. Tapi saya rasa pihak TNB telah cuba sedaya upaya mengurangkan kerisauan itu.
“Jadi, pandangan saya, kalau kita bagi mereka informasi yang betul tanpa elemen tokok tambah dan juga bawa mereka tengok perkembangan projek dari semasa ke semasa, saya yakin ia tak akan jadi satu masalah,” ujarnya.
Secara keseluruhan, hanya tiga kampung daripada 118 kampung yang terkesan secara langsung dalam penglibatan projek Hidroelektrik Nenggiri dan antaranya ialah Pos Tohoi, Pos Pular dan Kampung Kuala Wias.
Daripada tiga kampung tersebut, terdapat seramai 245 KIR yang melibatkan seramai 1,200 penduduk masyarakat Orang Asli bakal dipindahkan ke penempatan baharu pasca selesai projek Hidroelektrik Nenggiri yang dianggarkan siap sepenuhnya pertengahan tahun 2027.
Setakat ini, 213 KIR sudah memuktamadkan proses perjanjian manakala 13 KIR yang lain masih lagi sedang diproses.
Pampasan RM10 juta untuk tanaman
Mengulas lanjut, Muhamad Nazri turut berkata bahawa TNB juga memperuntukkan pampasan bernilai RM10 juta kepada masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan projek ini.
“Sebagai pampasan yang kita berikan ada dalam bentuk in-kind benefits dan juga dalam bentuk kewangan.
“In-kind (sebagai contoh), kita buat penempatan baharu kepada masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan projek ini dengan memberi rumah dan dusun yang baharu, ladang getah termasuklah beberapa infrakstruktur yang diperlukan seperti sekolah, surau, bekalan elektrik dan air.
"Rancangan ini sedang rancak dijalankan setakat ini dan penempatan baharu ini dijangka akan diduduki oleh mereka sekitar 2026,” jelasnya lagi.
Tambahnya, pembahagian wang pampasan ini bertujuan untuk mengganti rugi tanaman yang bakal ditebang untuk pembinaan empangan hidroelektrik.
Setakat ini, TNB sudah membuat dua kali pembayaran pampasan iaitu pada 9 dan 14 Ogos 2024.
#Projek Hidroelektrik Nenggiri #TNB #Orang Asli #penempatan semula