Projek 'Edward Gostaning' ditunda ke 8 Disember

Bernama
Jun 17, 2020 07:13 MYT
Kali pertama projek itu ditunda adalah pada 8 Mac, yang berpunca daripada kelewatan mendapatkan kelulusan daripada daripada Pesuruhjaya Polis Sabah. - Facebook Edwardgostaning
Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur oleh Edward Taning, 59, atau Projek Edward Gostaning (Summit Kinabalu Jasamu Dikenang) yang dijadualkan berlangsung 5 Jun lepas ditunda buat kali kedua ke 8 Dis depan, kata penyelaras projek Richard Soibi.
Beliau berkata kali pertama projek itu ditunda adalah pada 8 Mac, yang berpunca daripada kelewatan mendapatkan kelulusan daripada daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, manakala pada kali dua, projek itu terpaksa ditunda kerana banyak persediaan tidak dapat dilakukan susulan penularan wabak COVID-19 dalam negara.
"Kali ini kita terpaksa menunda sekali lagi projek ini disebabkan penularan wabak COVID-19. Banyak persediaan projek tidak dapat laksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Program anjuran bersama Persatuan Malim Gunung Kinabalu yang menyasarkan kutipan lebih RM500,000 itu adalah bagi mendapatkan dana untuk membina dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.
"Dana berkenaan juga bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau yang masih kekurangan kelengkapan. Kami difahamkan PPDK berkenaan memerlukan sebuah bas untuk pengangkutan pelajar.
"Selain itu, dana itu juga bagi mengisi tabung untuk membeli peralatan asrama malim di Gunung Kinabalu," kata Richard.
-- BERNAMA
#asrama #COVID-19 #daki #dana #Edward Gostaning #Edward Taning #gostan #Gunung Kinabalu #kelewatan #kelulusan #kutipan #malim gunung #mendaki #mengundur #OKU #pelajar #PKP #polis #Sabah #sekolah #tangguh #tunda
;