Projek ECRL masih dalam proses rundingan - Dr Mahathir
Rahimah Abdullah
Mac 20, 2019 11:31 MYT
Mac 20, 2019 11:31 MYT
Kerajaan masih menjalankan proses rundingan semula dengan pihak berkaitan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sejak Julai 2018 digantung semua kerja dan perkhidmatannya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek itu perlu dinilai semula dan hanya boleh diteruskan jika dilaksanakan pada skala yang sesuai.
“Kerajaan terpaksa menilai semula projek ini secara lebih teliti bagi memastikan negara mendapatkan pulangan yang terbaik dan menjejaskan pembangunan negara.
“Pada masa ini kerajaan telah melantik Tun Daim Zainuddin sebagai utusan khas PM bagi mengetuai proses perundingan semula dengan kerajaan China supaya penyelesaian menang-menang diperolehi,” katanya.
Tambahnya, hasil rundingan berkenaan akan dimaklumkan apabila ia dimuktamadkan sedikit masa lagi.
“Jika usaha rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akan diteruskan dengan skala yang sesuai dengan manfaat yang bakal dijana oleh rakyat dan menyelamatkan Malaysia dari beban hutang yang tinggi,” ujar beliau.
Pada 4 Julai tahun lalu, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) selaku kontraktor utama ECRL menyatakan, semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer digantung berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan berpendapat projek berkenaan telah diuruskan tanpa melalui prosedur biasa oleh kerajaan terdahulu.
“Pentadbiran terdahulu, tidak memanggil tender terbuka sebaliknya dianugerahkan satu syarikat sahaja kononnya atas alasan kerjasama G2G.
"Pentadbiran kerjaaan sepatutnya tidak tergesa-gesa menandatangani perjanjian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan perjanjian besar.
"Kontrak EPCC itu didraf mengikut harga lump sum (sekali gus) yang tinggi,” tambahnya.
Malah katanya, satu sistem keretapi baharu di Pantai Timur boleh diwujudkan dengan lebih sempurna jika pentadbiran dahulu mengambil kira semua aspek ekonomi kerajaan, nilai komersil, kesan alam sekitar dan hubungan dua hala dengan China.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mungkin berdepan bankrap jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Memang pun kalau PH tak menang, maka negara kita akan dijual kepada orang lain sebab kalau kita hutang dan tak dapat bayar maka kita dikenakan tindakan bankrap. Seperti Greece.
"Mujur rakyat sedar dan beri kemenangan pada PH untuk elak negara dijual kepada orang lain,” tambahnya.
#CCCC
#China
#Daim Zainuddin
#Dewan Rakyat
#ECRL
#ECRL batal
#ekonomi
#kerajaan
#Laluan Rel Pantai Timur
#Mahathir Mohamad
#nilai semula
#PRU14
#rundingan
#tender terbuka