Projek Darurat bantu kerosakan sekolah akibat bencana - Mahdzir
Wan Syamsul Amly
Mac 17, 2018 13:00 MYT
Mac 17, 2018 13:00 MYT
Kementerian Pendidikan akan memperbaiki sebarang kerosakan sekolah akibat bencana alam di bawah peruntukan Projek Darurat.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu sudah disiapkan di setiap negeri dan akan disalurkan segera jika berlaku sebarang bencana.
Jelasnya, laporan status sekolah uzur juga sentiasa diterima selain pembaikan dibuat mengikut kemampuan kementerian.
"Itu memang ada, tindakan sedang diambil, tiap-tiap negeri ada hantar permintaan untuk sekolah masing-masing.
"Itu kita ambil ikut kemampuan kewangan, kalau katalah dia menghantar 30 permohonan dan kita mampu 12, kita akan buat dahulu 12.
"Seperti kes di SK Danau Kota, pegawai saya sudah ada di sana, pegawai di sana sudah maklumkan akan mulakan segera pembaikan, ia di bawah Projek Darurat untuk siapkan semula bangunan rosak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasnikan bangunan baharu SK Seri Perak dan Kenduri Rakyat, guru Bersama-sama masyarakat di sini hari ini.
Sekolah itu disifatkan unik kerana pada asalnya didirikan di bawah bangunan rumah pangsa semasa tahun dibuka pada 1989.
Dalam perkembangan berasingan, Mahdzir berkata, semua sekolah sudah bersedia untuk dijadikan pusat pembuangan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Paling penting jelasnya, tiada masalah keperluan asas seperti air, elektrik timbul selain kemudahan untuk pengundi berbaris di sekolah berkenaan.
#Kementerian Pendidikan
#Mahdzir Khalid
#mengundi
#projek darurat
#PRU14
#pusat pembuangan undi
#Sekolah daif
#uzur