Projek Dapur Digital dilancar, perkasa usahawan PPR di Wilayah Persekutuan

Israr Khalid
Oktober 15, 2024 17:57 MYT
Dr. Zaliha Mustafa bersama Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan ketika pelancaran Projek Dapur Digital.
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa pada Selasa melancarkan Projek Dapur Digital (Cloud Kitchen), satu usaha memperkasakan komuniti B40, khususnya ibu tunggal dan golongan belia, melalui inovasi ekonomi digital.
Inisiatif ini adalah kerjasama strategik di antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan Malaysia, Pepper Labs, Yayasan Hasanah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), melibatkan transformasi lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Wangsa Sari, PPR Intan Baiduri, PPR Kampung Limau, PPR Kerinchi, dan PA Setapak Jaya 1A yang dijadikan sebagai dapur digital komuniti sejak Februari tahun ini.
Dapur-dapur ini berfungsi sebagai hab ekonomi yang menawarkan peluang kepada usahawan mikro B40 untuk menjana pendapatan untuk keluarga.
Usahawan di bawah inisiatif dapur digital ini menggunakan teknologi terkini yang membolehkan mereka memperluas pasaran melalui platform digital seperti GrabFood, ShopeeFood, FoodPanda dan lain lain. Ini memudahkan para peniaga mencapai lebih ramai pelanggan dan dapat meningkatkan jualan secara dalam talian.
Dapur digital ini juga menjadi pusat komuniti yang boleh digunakan untuk pelbagai projek masa depan seperti pengurusan sisa minyak masak, inventori digital dan pengurusan makanan melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi, perusahaan dan startup di bawah kendalian Pepper Labs sebagai operator yang dipercayai.
Dalam tempoh pelaksanaan inisiatif dapur digital, usahawan akan mendapat latihan dalam kemahiran masakan serta pengurusan perniagaan oleh chef profesional dan latihan dalam teknologi makanan.
Tambahan pula, usahawan akan menerima pensijilan ‘micro-credential’ daripada UNITAR dalam bidang teknologi dapur digital.
Pensijilan ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan memberi pengiktirafan rasmi kepada usahawan mikro wanita.
Sebilangan dapur digital yang beroperasi telah berjaya menjana pendapatan bulanan sehingga RM10,000 sekali gus membuka peluang kepada 17 golongan belia untuk menerima peluang pekerjaan serta membantu ibu tunggal mengembangkan perniagaan makanan mereka melalui platform digital.
Pada masa hadapan, projek ini disasarkan untuk menjana pendapatan kumulatif melebihi RM1.2 juta dalam tempoh dua tahun melalui lima dapur digital yang berfungsi sepenuhnya.
Selain itu, seramai 50 usahawan mikro yang terlibat akan terus mendapat bimbingan kemahiran perniagaan, teknologi makanan dan pengurusan dapur menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam ekonomi digital.
Inisiatif dapur digital memberi impak sosial dan ekonomi yang mampan kepada komuniti setempat dan menyokong aspirasi kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di bawah Upaya@PUJI.
Menerusi inisiatif dapur digital, komuniti B40 bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan, malah memperoleh kemahiran baru yang membolehkan mereka terus berkembang dan memperkasakan keupayaan bagi mengukuhkan ekonomi masing-masing.
#Projek Dapur Digital #cloud kitchen #PPR #DBKL
;