Projek bina tujuh jambatan keluli di Pos Gob siap Ogos - JKR
Bernama
Julai 9, 2023 12:24 MYT
Julai 9, 2023 12:24 MYT
GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan projek pembinaan tujuh unit jambatan keluli di Pos Gob, di sini, yang dimulakan pada 22 Julai tahun lepas masih berjalan dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang akhir Ogos.
JKR berkata skop kerja merangkumi pembinaan baharu tujuh unit jambatan keluli, dua unit pembentung dan kerja-kerja penggredan jalan telah mencapai 75 peratus pembinaan.
"Jambatan keluli di Sungai Teramok, Sungai Blaer dan Sungai Sengnang telah siap dibina, manakala jambatan keluli di Sungai Bed, Sungai Taboh, Sungai Kawod dan Sungai Pelat masih dalam proses pembinaan," menurut jabatan tersebut menerusi satu kenyataan, hari ini.
JKR turut memaklumkan telah siap membina pembentung di anak Sungai Teramok dan Sungai Peningcong.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk Orang Asli di Pos Gob mendakwa kerja-kerja naik taraf jambatan keluli di tujuh lokasi sebagai ganti kepada titi kayu yang ketika ini menjadi jalan perhubungan mereka yang sepatutnya disiapkan Februari lepas, tergendala.
Masalah tersebut menyebabkan mereka masih menggunakan batang pokok sebagai titi untuk menyeberangi beberapa anak sungai dalam perjalanan untuk keluar ke bandar Gua Musang.
-- BERNAMA