Projek bina SUKE dibantah kerana terokai hutan simpan

T K Letchumy Tamboo
April 10, 2016 23:44 MYT
Kumpulan bantahan tersebut terdiri daripada kumpulan 'Save Green Lungs', Persatuan Pendaki Bukit Ampang serta penduduk-penduduk setempat. - Foto Astro AWANI
Sekumpulan pencinta alam sekitar dan pendaki bukit, hari ini mengadakan bantahan berhubung cadangan pembinaan Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang akan membabitkan penerokaan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Sungai Putih di sini.
Mereka terdiri daripada kumpulan 'Save Green Lungs', Persatuan Pendaki Bukit Ampang serta penduduk-penduduk setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Tiew Way Keng, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mengeluarkan notis bahawa status Hutan Simpan yang terbabit dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan akan dikeluarkan daripada Hutan Simpan Bukit Sungai Putih.
"Kami akan hantar semua tandatangan yang telah kami kumpulkan dalam bulan lepas, kepada Jabatan Perhutanan, pada Selasa pukul 10 pagi. Menurut sebuah notis oleh Jabatan Perhutanan, mereka akan mengambil status hutan simpan dari sebahagian daripada Bukit Sungai Putih.
"Itu adalah berita yang sangat mengejutkan untuk kita semua kerana Bukit Sungai Putih adalah satu-satunya bukit di pusat bandar yang membolehkan penduduk untuk pergi untuk mendaki dan sebuah tempat untuk mengekalkan ekosistem di pusat bandar," kata Tiew.
Projek bina SUKE dibantah kerana terokai hutan simpan
Sementara itu, seorang ahli 'Save Green Lungs' dan pendaki bukit, Jessy Phuah berkata kawasan bukit Sungai Putih adalah sebuah syurga buat pendaki kerana suasana redup dengan air terjun semulajadinya.
"Beratus pendaki datang ke sini pada setiap hujung minggu. Bukit-bukit ini bagaikan sebuah taman rimba komuniti, di mana sukarelawan mengutip sampah, membaiki laluan yang curam, menyediakan hemok serta meja untuk perkhemahan dan meletakkan papan tanda untuk kemudahan pendaki.
"Malah, ada sukarelawan menyediakan air untuk pendaki. Inilah semangat gotong-royong di Malaysia di mana masyarakat melakukan kerja penyelenggaraan secara percuma," tambah Jessy.
Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer itu, bermula dari Sri Petaling, melalui Sungai Besi, Alam Damai, Cheras- Kajang, Taman Bukit Permai, Taman Putra, Taman Permai Jaya, Taman Dagang Permai , Taman Kosas , Ampang dan Taman Hillview sebelum keluar di Hulu Kelang.
Orang ramai yang ingin menandatangani petisyen bantahan tersebut secara atas talian, boleh berbuat demikian di https://www.facebook.com/savegreenlungs/
#lebuhraya #suke
;