Projek bersih Sungai Batu Malim sepanjang 17.1km pecah rekod Malaysia
Amir Hamzah Nordin
Oktober 2, 2022 11:30 MYT
Oktober 2, 2022 11:30 MYT
RAUB: Projek pembersihan di Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 kilometer berjaya memecahkan rekod ‘Malaysia Book of Records’ di samping dapat membersih dan memungut sampah sepanjang berakit di sungai itu seberat 841 kilogram.
Presiden Persatuan Pemuliharaan Gibbon (Gibbon Conservation Society), Mariam Ramli berkata, program ini sebagai memperkasakan kesedaran masyarakat untuk menjaga alam sekitar dan sungai sebagai satu sumber yang sangat penting kepada manusia dan hidupan lain.
“Penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu membangkitkan kesedaran betapa pentingnya sungai kepada kehidupan manusia dan diingatkan jangan sewenang-wenang membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan air dan alam sekitar.
“Selain itu, keperluan air bersih dari sumber sungai yang bersih memang diharapkan selain boleh dijadikan tarikan pelancong untuk beriadah di kawasan sungai yang bersih dan nyaman,” katanya di Batu Malim.
Katanya, kali pertama pada Jun lalu iaitu program alam sekitar sedunia dan manakala hari sungai sedunia adalah penganjuran kali kedua di Batu Malim, di sini.
Seorang peserta berakit, Muhammad Sharizal Arman Shah, 36 tahun, berkata, program sayangi sungai kita ini, selain beriadah dengan berakit yang turut disertai warga asing dan penduduk Orang Asli di kawasan ini dapat menghargai alam sekitar sepanjang mereka berakit.
“Sepanjang kami berakit sepanjang kira-kira 18km bermula di Kampung Ulu Sungai banyak juga kami temui sampah seperti tayar buruk, kerusi plastik lama, lampin pakai buang, bakul plastik lama dan sebagainya.
“Sewajarnya, penduduk yang tinggal di tepi sungai jangan amalkan sikap buruk ini kerana sungai sangat penting kepada manusia dan alam sekitar.
Seorang warga Australia, Paul Martin, 60 tahun, berkata, sangat tertarik dengan berakit menggunakan buluh memakan masa hampir 7 jam dengan keadaan air yang jernih dan bersih.
“Malangnya, dalam sepanjang berakit kami sampah seperti tayar buruk, kerusi plastik lama dan sebagainya dibuangkan ke dalam sungai, ini merugikan kerana memburukkan pemandangan,” katanya.
Kumpulan Jamil memenangi hadiah pertama kerana berjaya memungut sampah sepanjang berakit seberat 104kg, tempat kedua Kumpulan Hafiz memungut sampah seberat 100 kg dan tempat ketiga Kumpulan IPD Raub dengan pungutan sampah 83.4kg.
Turut berkenan mencemar duli ke program itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.