Projek bekalan kuasa di Cyberjaya, selari cita-cita jadi negeri pintar - MB Selangor
Bernama
Disember 10, 2022 10:10 MYT
Disember 10, 2022 10:10 MYT
SHAH ALAM: Pembangunan projek bekalan kuasa dan inisiatif tenaga boleh baharu di Cyberjaya, dekat sini, dilihat selari dengan cita-cita Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata pembangunan itu juga akan menjadi nadi kepada usaha pendigitalan Selangor sebagai pusat pengkalan data.
"Bagi projek ini, tujuan akhirnya bukan hanya menghantar tenaga ke Cyberjaya tetapi bagi melengkapi sampai lima tahun, dan ia akan manfaatkan aliran tenaga yang stabil kepada pusat data yang bakal diwujudkan.
"Dengan tenaga yang mencukupi sebanyak 60 megawatt ini, kita percaya, Cyberjaya boleh menjadi salah satu daripada pusat data yang akan menjadi nadi kepada usaha kita ke arah digitalisasi selain selari dengan cita-cita negeri ini," katanya selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Worldwide Holdings Berhad dengan Dynac Sdn Bhd di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Sesi menandatangani MoU itu menyaksikan Worldwide Holdings diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Norazlina Zakaria dan Dynac Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Md Jasman Bongkek.
Tambahnya, projek usaha sama itu dijangka bermula pada pertengahan tahun depan dan siap menjelang akhir 2024.
-- BERNAMA