Projek baiki Kompleks Sejarah Pasir Salak libatkan kos tinggi
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 16, 2022 16:35 MYT
Ogos 16, 2022 16:35 MYT
IPOH: Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun belum menerima jumlah sebenar kos membaiki serta memulihkan kompleks tersebut, pihaknya sedia maklum ia memerlukan belanja yang tinggi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan pihak swasta yang berminat untuk mengurus atau mengambil alih kompleks tersebut bagi membolehkannya kembali beroperasi seperti sebelum ini.
Menurutnya, usaha membaiki serta memulih kompleks berkenaan telah dibangkitkan di dalam mesyuarat Exco sebelum ini di mana Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi diberi tanggungjawab untuk melihat mengenainya.
"Kita belum dapat kos sebenar tapi kita sedia maklum kos agak tinggi... ia melibatkan pemuliharaan kepada bangunan yang sudah terbiar dan ada banyak kayu yang telah reput.
"Kita akan tengok kos sekiranya kerajaan negeri mampu kita akan gunakan wang kerajaan negeri dan kalau tidak mampu kita kena mohon bantuan daripada kerajaan Pusat," katanya.
Beliau berkat demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022, di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Saarani berkata, pihak swasta yang berminat menguruskannya boleh mengemukakan kertas cadangan kerana apa yang penting bukan sahaja memulihara tetapi juga penyelenggaraanya.
"Kita (kerajaan negeri) mungkin ada duit nak memulihkannya tetapi nak pastikan ia diselenggara setiap hari memerlukan operator," katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan di situ sudah reput dan tidak lagi boleh dikunjungi orang ramai.
Tinjauan mendapati semua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks tersebut tidak boleh dimasuki pengunjung termasuklah Galeri Sejarah Negeri Perak.
Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih boleh dikunjungi pelawat.