Mereka yang melaporkan kegiatan rasuah menerusi amalan 'ali baba' dalam pelaksanaan projek Kementerian Kerja Raya tidak perlu mendedahkan identiti mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menterinya Baru Bian.

Beliau berkata perkara itu adalah susulan kerjasama kementeriannya dengan SPRM dalam usaha pihaknya menangani gejala berkenaan.

"Kita perlukan bukti untuk bertindak. Adalah sukar untuk bertindak tanpa bukti tetapi kita mesti mencuba untuk mengatasinya sebelum ia (ali baba) menjadi satu budaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan di Pusat Komersil Dataran Bandar Sibu, di sini, pada Sabtu.

Katanya dasar kerajaan ialah membatalkan kontrak mereka yang didapati terbabit dalam amalan ali baba.

Mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo, Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau, berkata kerja pembinaan di Sarawak sudah 38 peratus siap sementara di Sabah hanya 12 peratus.

Menyifatkan kemajuan seluruh projek sebagai sederhana, beliau berkata ini disebabkan ada pakej yang terlewat berbanding jadual.

"Adalah menjadi tanggungjawab kontraktor pakej kerja yang terlibat untuk memastikannya berjalan lancar kerana pada akhir nanti, sama ada projek itu terlewat atau tidak, ia akan menjadi tanggungjawab mereka," katanya.

Ditanya mengenai cadangan menukar model pelaksanaan projek daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada 'projek turnkey' (kontrak terima jadi) bagi lebuh raya itu, Baru berkata kabinet belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

-- BERNAMA