Projek air Sabah: SPRM tahan 19 lagi, rampas RM4.2 juta

Astro Awani
Oktober 20, 2016 10:42 MYT
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki berkata semua suspek berusia antara 29 dan 59 tahun itu ditahan di 27 lokasi seluruh negeri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan siasatan terhadap kes rasuah melibatkan projek air di Sabah.
Fasa kedua operasi itu bermula pada Rabu dengan penahanan 19 pegawai Jabatan Air Negeri Sabah serta merampas wang tunai kira-kira RM4.2 juta daripada beberapa suspek.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki berkata semua suspek berusia antara 29 dan 59 tahun itu ditahan di 27 lokasi seluruh negeri.
SPRM turut membekukan beberapa akaun bank membabitkan nilai kira-kira RM3.6 juta milik beberapa orang suspek tersebut.
Pelbagai dokumen perolehan dan tuntutan turut dirampas dalam operasi tersebut.
Siasatan awal mendapati ketua bahagian dan daerah jabatan berkenaan mengutip antara 27 hingga 30 peratus daripada jumlah nilai projek daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan kerja sebut harga dan kerja-kerja kecemasan jabatan itu di seluruh Sabah.
SPRM memohon reman terhadap kesemua mereka di empat mahkamah berlainan di negeri tersebut.
18 suspek direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.
Tambah Azam, kes ini melibatkan sejumlah dokumen perolehan yang banyak serta memerlukan masa bagi meneliti dan menyelesaikan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
#air Sabah #Azam Baki #kes rasuah #SPRM