Program 'Wanita Bangkit' sasar bantu lebih 2,000 wanita

Bernama
Oktober 20, 2021 04:35 MYT
Rina berkata, pelan pemerkasaan diri yang komprehensif turut disediakan supaya wanita yang memerlukan sokongan dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan atau perniagaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melancarkan program Wanita Bangkit yang menjurus kepada aspek penjanaan pendapatan, peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi untuk wanita, hari ini.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sebagai permulaan lebih 2,000 wanita disasarkan mendapat peluang dalam penjanaan pendapatan dan pekerjaan menerusi program tersebut.
Beliau berkata pelbagai platform disediakan melalui program itu bagi memastikan masa depan golongan wanita lebih tersusun dan terancang melalui proses pemerkasaan ekonomi.
"Program Wanita Bangkit juga berfungsi sebagai platform pusat sehenti yang mana wanita terpilih akan dilatih, dibimbing dan diberikan peluang kerjaya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Rina berkata kementerian turut menyediakan pelan pemerkasaan diri yang komprehensif supaya wanita yang memerlukan sokongan dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan atau perniagaan disediakan melalui kerjasama dengan syarikat terpilih.
Katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan yang dipengerusikan beliau sendiri dan dianggotai wakil-wakil syarikat, pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita serta agensi kementerian lain yang berkaitan bagi memantau program tersebut.
Pihak kementerian juga bersedia mendengar cadangan yang konstruktif untuk memperhebatkan lagi program Wanita Bangkit ini supaya menjadi penggerak dan pemacu kepada Aspirasi Keluarga Malaysia.
-- BERNAMA
#Rina Mohd Harun #Wanita Bangkit #ekonomi #pendapatan
;