Program vaksinasi COVID-19 tanggungjawab bersama

Irmohizam Ibrahim
Jun 14, 2021 19:31 MYT
World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merupakan antara lokasi awal bukan hospital yang ditawarkan sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi yang terbesar di Malaysia. - Gambar BERNAMA
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah baru-baru ini menekankan bahawa dua minggu akan datang merupakan satu tempoh yang kritikal dalam memerangi pandemik COVID-19.
Malah tegas beliau, tempoh dua minggu pelaksanaan 'total lockdown' atau sekatan pergerakan penuh akan datang tempoh yang kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000.
Dalam tempoh berkenaan, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk COVID-19 yang masih mencatatkan bilangan kes harian tinggi.
Dua hari yang lalu, kerajaan mengumumkan bahawa sekatan total akan dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 28 Jun.
Kerajaan pada 28 Mei lalu memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun.
Kita kini berada di persimpangan untuk menggembleng keseluruhan sumber yang ada di pelbagai peringkat negara, sama ada sektor awam ataupun swasta, bagi mencapai keberkesanan optimum dalam usaha memerangi COVID-19.
Salah satu adalah sumber yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Misalnya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ada 34 buah kampus di seluruh negara manakala institusi pengajian tinggi awam 20, selain politeknik, kolej-kolej komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tiga Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) iaitu di UiTM Kampus Puncak Alam; Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk; dan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (AMDI) USM Cawangan Bertam akan dibuka seawal minggu hadapan.
PPV IPT UiTM Kampus Puncak Alam akan memulakan operasi pada 7 Jun 2021 manakala PPV IPT USM dan PPV IPT AMDI akan mula beroperasi pada 14 Jun 2021.
Menurut Dr Noraini, bagi menyokong usaha ini, seramai 200 orang kakitangan UiTM telah digerakkan yang terdiri daripada petugas barisan hadapan kampus dan petugas kesihatan dari Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan.
Perkhidmatan sukarelawan yang terdiri daripada staf, pelajar dan alumni juga mendapat sokongan yang mengalakkan. PPV IPT UiTM Kampus Puncak Alam ini bakal memberi manfaat yang besar kepada warga Selangor.
Operasi pemberian vaksin dijadual bermula mulai jam 9 pagi sehingga 8 malam. Tiga PPV IPT ini merupakan sebahagian daripada 19 PPV IPT yang dicadangkan oleh KPT bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses lebih luas kepada rakyat untuk menerima vaksin.
Ini satu peluang bagi KPT memanjangkan sokongan dan kerjasama kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak COVID-19 di negara ini.
KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan COVID-19.
Malah, inilah masa bagi memasyarakatkan pusat pengajian tinggi tempatan dalam berkongsi kemudahan dan logistik yang ada demi kebaikan dan manfaat bersama.
Perkongsian kemudahan dan sumber tenaga adalah sangat penting bagi sama-sama memerangi COVID-19 yang sudah berlarutan selama 18 bulan. Dan, belum ada tanda-tanda ia akan menurun dalam waktu terdekat.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan berkenaan ketidaksamaan bekalan vaksin COVID-19 telah mewujudkan 'pandemik dua hala' apabila negara-negara Barat sedang diberi perlindungan manakala yang lebih miskin masih terdedah kepada jangkitan.
Menurut pakar-pakar Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), jika dunia bergerak pada trajektori semasa, kesan lebih buruk bakal mengancam, lebih-lebih lagi ke atas golongan pekerja.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 220 juta orang dijangka kekal menganggur di peringkat global pada tahun ini dan kerugian pekerjaan berkaitan pandemik itu tidak akan dibuat sehingga sekurang-kurangnya tahun 2023.
Berdasarkan pengalaman sepanjang 15 bulan yang lalu, ada perkara yang boleh dan wajar dijadikan pengajaran dalam menghadapi hari-hari yang mencabar.
COVID-19 sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem kehidupan kita dan seluruh dunia.
Meskipun vaksin melawan COVID-19 sudah tiba, tetapi disiplin dan komitmen rakyat semua lapisan, tidak kira kedudukan, kuasa dan taraf, yang akan menjadi penentu sama ada kita benar-benar berjaya atau tidak dalam perang ini.
Hakikatnya, kita belum bebas daripada pandemik ini. Malah, kita belum berjaya menundukkan COVID-19 yang muncul dalam pelbagai varian sekarang.
Sama-samalah kita memperlihatkan semangat berkorban dalam misi keluar daripada pandemik COVID-19 dan merasai kembali kehidupan normal.
Semua orang menanti sinar baharu. Tidak kira orang perseorangan, ahli politik, pemimpin korporat ataupun kerajaan, semua mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam misi ini.
Amalan sekatan pergerakan kendiri bukan sesuatu yang luar biasa atau sukar untuk dilakukan. Beberapa negara telah menggalakkan rakyatnya berbuat demikian.
Malah, negara-negara tertentu yang sudah pun mengorak langkah ke arah itu demi kesihatan dan kepentingan bersama. Ini termasuklah di Taiwan.
Jangkitan COVID-19 dikatakan akan kekal dalam ekosistem kehidupan kita buat selama-lamanya, sebagaimana penyakit-penyakit lain yang dihadapi oleh manusia pada hari ini.
Formula untuk menghindari mangsa jangkitan atau menghidap penyakit-penyakit serius masih sama. Kita perlu mengambil tindakan awal untuk mengelak jangkitan dan dijangkiti.
Oleh itu, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, “adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat” dan “menerima hakikat ini masalah bersama, pendekatan kita bukan ‘whole of government, it is whole of society’.”
Untuk rekod, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merupakan antara lokasi awal bukan hospital yang ditawarkan sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi yang terbesar di Malaysia. Program itu berjalan dengan lancar sejak lebih sebulan yang lalu.
Saya yakin lebih banyak lagi pusat pengajian tinggi dan semua prasarana agensi di kementerian-kementerian yang ada akan mengikut langkah yang dilakukan oleh KPT.
Kita berada dalam tempoh yang kritikal. Inisiatif tanggungjawab sosial korporat, membabitkan semua sumber termasuk modal insan dan kesukarelawanan, perlu digerakkan bagi membantu pihak kerajaan dalam mencapai sasaran program vaksinasi yang diharapkan, sekali gus melahirkan persekitaran bebas COVID-19.

* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota (MAC) Asia Pasifik, World Trade Centre Associations (WTCA).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #total lockdown #WTCKL #World Trade Centre Kuala Lumpur
;