Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan bermula di sini

Fareez Azman
Februari 24, 2021 05:58 MYT
Vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech yang disimpan di dalam kotak simpanan sejuk tiba di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Detik bersejarah dalam usaha negara membanteras penularan pandemik COVID-19 bermula di sini.
Hari ini, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.
Sejarah bakal tercipta apabila PM Muhyiddin bakal menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.
LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG VAKSIN COVID-19 ADA DI SINI
Ini apa yang perlu tahu berhubung perjalanan proses pemberian vaksin:
1. Setiap vaksin yang ditempatkan di 54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) seluruh negara perlu disimpan di dalam Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (Ultra Low Temperature Freezer – ULTF) dengan suhu -90°C sehingga -60°C bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.
2. Jangka hayat vaksin dalam penyejuk beku yang disimpan di PSV adalah enam bulan daripada tarikh pengilangan.
3. Bagi tujuan penghantaran bekalan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara, vaksin akan dipindahkan ke kotak simpanan sejuk dengan suhu simpanan 2°C hingga 8°C.
4. Vaksin kemudiannya akan disimpan di dalam peti sejuk beku (freezer) dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.
5. Setibanya di PPV, vaksin yang disimpan pada suhu 2°C hingga 8°C mempunyai jangka hayat sehingga lima hari atau bersamaan dengan 120 jam sebelum diberikan kepada penerima.
Sehingga kini, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan secara keseluruhannya terdapat 54 lokasi PSV dan 605 lokasi PPV di seluruh negara.
#Khairy Jamaluddin #Muhyiddin Yassin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #vaksin #Pfizer-BioNTech #MOSTI #Dr Adham Baba