Program TVET MARA terus cemerlang lahirkan modal insan berkemahiran tinggi

Israr Khalid
Jun 11, 2024 15:14 MYT
RUBIAH WANG: Kita mahukan graduan Bumiputera bukan sekadar mencari kerja dan bekerja, tetapi pada akhirnya menjadi pemain industri dengan memiliki entiti perniagaan di pelbagai lapangan industri. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), dan Kolej Profesional MARA melahirkan 8,447 graduan bagi tahun 2024 yang akan menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan profesional dalam pelbagai bidang kerjaya.
Kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, ekosistem pendidikan MARA yang mampan berupaya memenuhi kehendak dan agenda kerajaan untuk menjadi sebuah negara MADANI menerusi pembangunan modal insan sekali gus menyokong kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, tumpuan khusus diarahkan kepada melahirkan modal insan berkualiti serba-serbi, selari dengan fokus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan ia akan terus diperhebat melalui agenda pemerkasaan TVET.
Justeru, tegasnya, perlunya anjakan paradigma yang menyeluruh terhadap lapangan TVET kerana peranannya juga sama tinggi pentingnya dengan bidang-bidang profesional lain.
“Persepsi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang pengajian kelas kedua adalah pandangan lapuk, sebaliknya orang ramai perlu melihatnya sebagai antara laluan utama kerjaya.
“Maka kita akan pastikan kurikulum TVET sedia ada perlu selari dengan keperluan industri bagi menangkis persepsi negatif terhadap program TVET tempatan,” katanya dalam ucapan pembukaan sidang utama Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Isnin.
Ini terbukti apabila IPMA melahirkan seramai 28,919 graduan dalam pelbagai bidang teknikal dan profesional, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 94.34 peratus, bagi tempoh sepanjang tahun 2023.
Ujar Rubiah lagi, tidak dapat dinafikan bahawa MARA telah menjadi tonggak utama dalam usaha meningkatkan status sosio-ekonomi Bumiputera.
Namun, dalam kerancakan kita melahirkan modal insan yang memiliki kepakaran setanding graduan universiti ternama yang lain, kita harus berfikir dan berusaha untuk mengubah ‘mindset’ serta hala tuju.
“Kita mahukan graduan Bumiputera bukan sekadar mencari kerja dan bekerja tetapi pada akhirnya menjadi pemain industri dengan memiliki entiti perniagaan di pelbagai lapangan industri.
“Saya menyeru kepada semua untuk berganding bahu merubah landskap sosioekonomi dan pemikiran masyarakat daripada hanya bercita-cita menjadi pekerja kepada pencipta peluang pekerjaan atau usahawan yang mampu mencipta kekayaan untuk dirinya, masyarakat dan bangsa.”
Sejak penubuhannya pada 1968 hingga 2023, jumlah komuniti anak didik MARA termasuk pelajar tajaan berjumlah 1,636,515 orang.
Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA (BKT) mempunyai 10 KKTM, sebuah MJII dan 14 IKM di bawah seliaannya dan telah melahirkan sejumlah 186,854 graduan.
Sementara Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) mempunyai enam buah KPM di bawah seliaannya dan telah melahirkan sejumlah 34,871 graduan cemerlang dan holistik serta menjadikan mereka sebagai ahli tokoh korporat, profesional, teknokrat dan pemimpin dalam pelbagai lapangan.
Salah seorang daripadanya adalah Aiman Syahmi Adnan yang merangkul dua anugerah besar pada Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 iaitu Anugerah Graduan Terbaik dan Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang.
Beliau memiliki tiga Diploma, iaitu Diploma Kejuruteraan Elektronik Kawalan daripada Politeknik Melaka, Diploma Elektrik daripada GIATMARA dan yang terbaharu, Diploma Teknousahawan Penyejukan dan Penyaman Udara daripada IKM Kuala Lumpur.
Pengajian Aiman sebagai memperkaya dirinya yang mengusahakan perniagaan berkaitan penyaman udara yang berpangkalan di Melaka, yang dimulakan oleh bapanya, dan tahun lepas sahaja keuntungan syarikat beliau mencecah RM4 juta.
“Ibu dan ayah saya sendiri adalah produk pendidikan MARA dan mereka menuntut di IKM yang sama dahulu dan saya meneruskan legasi ini dengan menuntut di institusi pendidikan dan kemahiran MARA.
“Bisnes saya di Melaka juga menggunakan bantuan MARA dan bertapak juga di premis sewaan MARA. Jadi kehidupan saya ini, kalau nak dikatakan anak MARA, sayalah salah satu contohnya.”
Sementara itu, Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa 2 Jun setiap tahun sebagai Hari TVET Negara sebagai menghargai peranan dan kejayaan bidang TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara.
Untuk tahun ini, sambutan Hari TVET Negara dan Pelancaran Dasar TVET Negara 2030 berlangsung pada 7 hingga 8 Jun 2024 yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri.
#MARA #IPMA #TVET #Rubiah Wang
;