Program TVET, bunuh diri jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Astro Awani
Mac 22, 2023 08:40 MYT
Mac 22, 2023 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pindaan bagi menghukum tindakan bunuh diri, antara yang jadi tumpuan di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Shari mengemukakan soalan berkaitan TVET kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Beliau meminta MITI menyatakan peracangan dalam mengenal pasti dan teroka industri baharu bagi tujuan TVET supaya meningkatkan peluang pekerjaan dalam industri baharu berteknologi tinggi.
Dalam isu cubaan bunuh diri, Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen meminta Perdana Menteri berkongsi perkembangan usaha kerajaan meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk tidak lagi menghukum pelaku bagi tangani isu peningkatan jumlah cubaan bunuh diri.
Turut dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini adalah Dasar Pengguna Negara.
Ahli Parlimen Batang Sadong meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperincikan adakah kerajaan akan menilai semula dasar tersebut memandangkan fokus kini bertambah kepada isu kos sara hidup.
Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen ke-15 berlangsung selama 31 hari sehingga 4 April.