Program 'Turun Padang' dijenamakan semula, fokus bela nasib rakyat - Shamsul Anuar

Wan Syamsul Amly
Mac 13, 2016 10:35 MYT
SHAMSUL ANUAR: Program ini diharap akan memberikan impak baik kepada usaha UMNO membantu rakyat. -Gambar fail
Biro Kebajikan UMNO akan menjenamakan semula Program Turun Padang Bantu Rakyat dan memberi keutamaan kepada beberapa aspek yang lebih mengutamakan rakyat.
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia akan dilakukan dengan lebih berfokus, tersusun dan terancang serta diberikan tumpuan ke kawasan-kawasan yang akan dimaklum setelah ditentukan nanti.
"Bagi memastikan Program Turun Padang Bantu Rakyat, Biro Kebajikan UMNO Malaysia ini dijenama, diutamakan dan diselaraskan dengan baik, kita akan mengadakan perbincangan dan mesyuarat bagi menyusun serta menyelaras program ini.
"Program ini diharap akan memberikan impak baik kepada usaha UMNO membantu rakyat. Pada saya, UMNO akan kuat jika pimpinan serta sokongan rakyat di akar umbi kuat.
"Justeru kegiatan Biro akan digerakkan bersama dengan peranan biro di bahagian-bahagian yang akan kita tentukan nanti.
"Maknanya saya mahu gerakkan organisasi kawasan tertentu di bawah agar dapat memainkan peranan, kerana kekuatan UMNO berada di akar umbi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Jelas Shamsul, penjenamaan semula itu menepati hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap program melibatkan akar umbi.
"Saya yakin sokongan rakyat masih kepada UMNO, dan kerana itu saya meminta semua pimpinan parti, walaupun kita sedang menghadapi pelbagai cabaran politik dengan serangan bertali arus daripada mantan presiden serta timbalan presiden UMNO yang digantung tugas dan bergabung dengan pembangkang.
"Apa juga yang terjadi, fokus UMNO dalam membela dan membantu rakyat hendaklah kita utamakan. Saya percaya selagi UMNO menjadi parti yang membela dan menjaga kebajikan rakyat terutama di waktu sukar begini, UMNO akan terus disokong rakyat.
"Kita tidak boleh sepanjang masa berpolitik kerana mandat yang diberikan rakyat mesti digunakan sepenuhnya oleh UMNO," ujarnya.
Katanya lagi, UMNO mesti menjawab dan bertindak terhadap setiap serangan selain tidak mengabaikan fokus dan tanggungjawab membela rakyat.
#Biro Kebajikan UMNO #Program Turun Padang Bantu Rakyat #Shamsul Anuar #UMNO
;