Program 'Travel Safe Malaysia' bantu mulakan semula pelancongan Malaysia
Bernama
Disember 18, 2020 15:54 MYT
Disember 18, 2020 15:54 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menandatangani perjanjian dengan Bureau Veritas bagi melaksanakan label kecemerlangan kebersihan dan keselamatan 'Travel Safe Malaysia' yang direka untuk menyokong aktiviti memulakan semula industri pelancongan dan pengembaraan.
Dalam kenyataannya hari ini, MATTA berkata program itu yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan ditawarkan kepada semua ahli MATTA menerusi audit lapangan bagi memastikan prosedur dan proses kesihatan, keselamatan dan kebersihan yang bersesuaian dilaksanakan.
Ini juga seiring dengan amalan baik dan syor yang diiktiraf global berkaitan langkah-langkah pencegahan bagi memulakan kembali perniagaan secara selamat selepas tempoh kawalan pergerakan akibat COVID-19.
Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata pandemik COVID-19 berkembang seiring masa, justeru ada keperluan untuk industri menggubal strategi pelancongan yang baharu dengan mengambil kira protokol keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan kerajaan serta situasi semasa yang masih berisiko.
Katanya dengan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat akan menggalakkan pengembara berpotensi memilih negara ini sebagai destinasi mereka apabila sempadan kembali dibuka kepada pelawat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Negara Bureau Veritas Malaysia bagi Komoditi, Industri dan Fasiliti Rantau Asia Tenggara Datuk Mohd Nizam Abdul Malik berkata sebagai sebuah destinasi pelancongan antarabangsa, pengembara akan berasa lega kerana industri pelancongan negara ini bersedia sepenuhnya serta menjadikan kebersihan dan keselamatan sebagai keutamaan dalam operasi mereka.
"Ini akan turut memberi manfaat kepada pelancong domestik kerana mereka tahu penyedia perkhidmatan mereka diiktiraf serta mengamalkan piawaian kebersihan dan keselamatan tertinggi berkaitan pandemik COVID-19," kata Mohd Nizam.
Bureau Veritas merupakan peneraju global dalam pengujian, pemeriksaan dan pensijilan dengan lebih 78,000 petugas di 1,500 pejabat dan makmal di seluruh dunia.
-- BERNAMA
#persatuan ejen pelancongan
#MATTA
#bureau veritas
#pelancongan
#Malaysia
#travel safe malaysia
#COVID-19
#pandemik