Program tingkat nilai diri, kesantunan berbahasa perlu diperbanyak - Fadhlina
Bernama
Julai 30, 2024 22:14 MYT
Julai 30, 2024 22:14 MYT
KUALA LUMPUR: Program meningkatkan nilai diri serta tahap kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat perlu diperbanyak bagi mengurangkan perbuatan memburukkan diri sendiri dan orang sekeliling, terutama di media sosial.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengalu-alukan penganjuran apa sahaja program seperti itu.
Beliau berkata insiden melibatkan seorang pempengaruh wanita di TikTok yang didakwa membunuh diri akibat buli siber baru-baru ini, merupakan contoh ketidakpekaan masyarakat terhadap pertuturan mereka.
"Kejadian buli siber sekarang ditambah dengan penggunaan bahasa yang langsung tidak dikawal dan hilang kesantunan sama sekali. Oleh sebab itu amat penting untuk semua pihak berkaitan untuk menganjurkan banyak lagi program seperti Seminar Aspirasi Wanita MADANI (ASWANI).
"Sekiranya tidak ada satu ekosistem yang membantu menggerakkan penerapan nilai murni, memang sukar untuk kita mara ke hadapan dan dengan pandangan hidup yang lebih jauh," katanya ketika berucap merasmikan seminar ASWANI anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Seminar ASWANI yang berlangsung hari ini dan esok antaranya melibatkan pembentangan 10 kertas kerja dalam dua sidang.
Ahli panel termasuk Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita Datuk Dr Hafsah Hashim, Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia Prof Dr Syarifah Syahirah Sy Sheikh dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Haslinda Abdullah.
-- BERNAMA