Program Thaipusam Astro terima pengiktirafan Malaysia Book of Records
Umavathi Ramayah
Februari 6, 2024 19:58 MYT
Februari 6, 2024 19:58 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad menerusi Indian Customer Business (ICB) menempa nama dalam Malaysia Book Of Records apabila program Thaipusam yang disiarkan 24 jam di saluran 201 Vanavil diiktiraf sebagai siaran langsung Thaipusam paling lama.
Sejarah tercipta menerusi gabungan 19 pengacara dari empat lokasi di seluruh negara secara langsung, bermula pukul 9 malam pada 24 Januari hingga pukul 9 malam keesokan harinya.
Sijil pengiktirafan itu disampaikan wakil Malaysia Book Of Records, Lee Pooi Leng kepada Naib Presiden ICB, Prem Anand pada Selasa.
Prem Anand memberitahu, siaran langsung yang turut disiarkan di Astro Go dan On Demand itu merekodkan tontonan tertinggi dengan peningkatan 192 peratus berbanding tahun lalu.
"Selain di Malaysia, kita turut menyiarkan kemeriahan Thaipusam di India, Sri Lanka, Afrika Selatan dan New Zealand," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.
Bertemakan #NandriKandha, siaran tersebut turut tampil dengan pengisian menarik termasuk temu bual eksklusif bersama tetamu-tetamu jemputan.
Pada majlis sama, Meena Kumari turut diiktirafkan sebagai pengacara paling lama bagi siaran langsung Thaipusam.