Program Temuduga Terbuka SL1M kembali di Sabah

Dania Zainuddin
Julai 10, 2017 22:04 MYT
Antara aktiviti menarik pada program selama dua hari itu adalah penampilan istimewa bersama selebriti Faizal Tahir, Kumpulan Zera Maharaja Lawak Mega, Jimmy Palikat, Firman dan Farish Aziz. - Foto Astro AWANI
Golongan graduan dan yang masih mencari pekerjaan, khususnya yang berada di Sabah berpeluang mendapatkan peluang pekerjaan menerusi Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah 2017.
Ia akan diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 22 dan 23 Julai akan datang.
Ketua Sekretarian SL1M, Norashikin Ismail berkata antara syarikat yang akan membuka gerai temuduga di Sabah termasuk Astro Sabah, Malaysia Airlines Berhad, CIMB, Petronas, Telekom, Celcom Axiata, Tabung Haji Plantations dan Tenaga Nasional Berhad.
"Program ini adalah kali kelima kami adakan di zon negeri Sabah termasuk Labuan. Kita ada lebih daripada 5 ribu jawatan kosong.
"Kita bukan sahaja mengadakan temuduga terbuka, tetapi boleh memberi surat tawaran serta merta.
"Kita juga buka peluang kepada usahawan muda untuk membuka gerai secara percuma untuk berniaga, dan kita akan mengadakan cabutan bertuah kepada orang ramai," kata Norashikin dalam satu sidang media di sini pada Isnin.
Antara aktiviti menarik pada program selama dua hari itu adalah penampilan istimewa bersama selebriti Faizal Tahir, Kumpulan Zera Maharaja Lawak Mega, Jimmy Palikat, Firman dan Farish Aziz.
Penglibatan selebriti ini adalah untuk memberi motivasi dan berkongsi mengalaman supaya dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk gigih berusaha dan menjadikan diri lebih baik.
Sejak SL1M dilancarkan pada tahun 2011, lebih 120 ribu orang sudah berjaya mendapat pekerjaan tetap selepas menyertai program.
Beliau turut meminta syarikat lain untuk menyertai dan membuka gerai temuduga dalam program SL1M supaya dapat terus membantu graduan tempatan sekaligus memperbaiki taraf ekonomi.
#Norashikin Ismail #Peringkat Negeri Sabah #Program Temuduga Terbuka SL1M #SL1M
;