Program Tabika Pra Tahfiz di 10,843 tabika Kemas - Ahmad Zahid

Bernama
November 9, 2023 19:48 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz di 10,843 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kurikulum sedia ada di tabika berkenaan akan diperkukuh dan dimasukkan dengan program baharu itu agar ilmu akidah, ibadah, solat dan keagamaan dapat diterapkan sejak di peringkat tabika lagi.
"Dua hari yang lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dan Yayasan Pahang.
"Yayasan Pahang telah melaksanakan program yang sama di 21 Tabika Yayasan Pahang di negeri itu bersama Yayasan PINTA (gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan) yang menaungi maahad tahfiz di seluruh negara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi penyediaan pedagogi atau kaedah pengajaran kepada guru Kemas," kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Program itu juga menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) kementerian dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak.
Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz KEMAS.
-- BERNAMA
#Program Tabika Pra Tahfiz #Tabika Kemas #Zahid Hamidi #Al-Quran
;