Program Syarahan Parlimen dijadikan acara bulanan - Johari

Bernama
Mei 27, 2023 17:04 MYT
Johari berkata ini penting kerana Parlimen bukan sahaja institusi yang menguruskan hal perundangan negara, tetapi juga berperanan dalam membentuk kepimpinan yang berwibawa untuk masa depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penganjuran Program Syarahan Parlimen yang kini memasuki siri kedua akan diteruskan sebagai acara bulanan bagi membolehkan masyarakat memberikan pandangan berhubung cara tadbir urus negara yang baik.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata ini penting kerana Parlimen bukan sahaja institusi yang menguruskan hal perundangan negara, tetapi juga berperanan dalam membentuk kepimpinan yang berwibawa untuk masa depan.
"Oleh itu, mengambil semangat untuk mengangkat semula martabat negara melalui cara tadbir urus kerajaan yang adil dan saksama dalam melaksanakan dasar-dasar yang holisitik, siri syarahan ini kita rancang untuk adakan setiap bulan bagi tempoh lima tahun.
"Ia telah dipersetujui Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim kerana kita mahu bersama-sama membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang ingin memberikan pandangan," katanya ketika merasmikan Program Syarahan Parlimen 2.0 Tahun 2023 bertajuk 'Budi Membentuk Tamadun Dalam Konteks Masyarakat MADANI' di Bangunan Parlimen hari ini.
Johari berkata dalam agenda pembangunan negara, semua pihak harus ada kesedaran untuk memberikan nafas yang sinergistik kerana ia adalah ikhtiar konsep MADANI dalam memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan.
Bagaimanapun ikhtiar itu, katanya haruslah menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.
"Sehubungan itu, pemerkasaan institusi kerakyatan, reformasi institusi, perdebatan polisi dan wacana di ruang awam yang menjadi antara medan gerak kerja masyarakat madani harus sentiasa berpaksikan prinsip, nilai, etika dan moral yang bukan sahaja universal, bahkan adil dan seimbang selain turut mengambil kira faktor agama, budaya dan sensitiviti masyarakat yang dinamik sifatnya.
"Rakyat yang diwakili oleh pergerakan masyarakat sivil harus juga bertindak seiring, seia sekata dengan penuh sedar, bertanggungjawab dan memainkan peranan yang positif dalam agenda menjunjung nilai, moral, akhlak dan etika," katanya.
-- BERNAMA
#syarahan parlimen #Johari Abdul #program bulanan #Rais Yatim
;