PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), menyambut baik keputusan Kerajaan untuk melanjutkan tempoh pemberian bantuan Program Subsidi Upah (PSU) selama sebulan lagi bagi semua sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau total lockdown yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2021.

Pelanjutan ini dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Sebagai satu inisiatif yang telah banyak membantu majikan dan perusahaan mereka untuk terus bertahan dalam mendepani impak pandemik COVID-19 selama ini, PERKESO percaya lanjutan PSU 3.0 ini akan dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan atau mata pencarian kepada para pekerja yang majikan mereka terjejas akibat penutupan kebanyakan sektor ekonomi.

Ia juga adalah bukti keprihatinan Kerajaan yang mendengar dan memahami cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh golongan majikan yang akan memberi kesan secara langsung kepada para pekerja.

Program Subsidi Upah

Bagi pelanjutan PSU ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.5 billion untuk disalurkan kepada majikan yang terkesan, terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap permohonan kepada PERKESO.

Pemberian insentif ini dijangka akan memanfaatkan seramai 2.5 juta pekerja dan lebih 220,000 majikan di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, PERKESO akan melanjutkan tarikh akhir permohonan PSU dari 30 Jun 2021 ke 31 Julai 2021.

Subsidi ini akan dipanjangkan secara automatik kepada majikan yang telah memohon di bawah PSU 3.0.

Mereka hanya perlu mengemaskinikan senarai pekerja sebelum 15 haribulan pada bulan yang berkenaan.

Bagi majikan yang telah memohon PSU 1.0 atau PSU 2.0, tetapi tidak PSU 3.0, mereka perlu membuat pemohonan baharu di bawah PSU 3.0.

Sejak diperkenalkan pada 1 April 2020, PSU telah berjaya membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 atau penutupan operasi semasa PKP supaya dapat meneruskan operasi syarikat tanpa memberhentikan mana-mana pekerja, yang secara langsung mengelakkan para pekerja daripada hilang punca pendapatan.

PSU adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Sehingga 30 Mei 2021, PERKESO telah meluluskan sebanyak 330,586 permohonan daripada majikan yang memberi manfaat kepada seramai 2.72 juta pekerja dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM15.04 bilion.

Soalan-soalan lazim berkenaan lanjutan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PEMERKASA+ akan dimuat naik ke laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my dalam masa yang terdekat. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor Careline PERKESO 1-300-22-8000.

DATO’ SRI DR. MOHAMMED AZMAN BIN DATO’ AZIZ MOHAMMED
KETUA EKSEKUTIF PERKESO