Program subsidi beras ST15 perlu digantung sementara - PAC
Bernama
Mac 31, 2015 16:44 MYT
Mac 31, 2015 16:44 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta menggantung sementara program subsidi beras Super Tempatan (ST) 15 memandangkan program itu tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata program itu boleh diteruskan apabila kementerian terbabit mewujudkan suatu prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan program subsidi itu dinikmati golongan sepatutnya.
"PAC mendapati bahawa program tersebut tidak memuaskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Katanya sejak program itu diperkenalkan lapan tahun lepas, kementerian menerima subsidi sebanyak RM528 bilion untuk diagihkan kepada 895 pemborong beras seluruh negara.
Beliau berkata ketika ini kuota beras ST15 untuk Semenanjung adalah sebanyak 40,000 tan metrik sebulan manakala 20,000 tan metrik diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak.
"Tidak ada pemantauan untuk memastikan beras telah diedarkan ke kedai-kedai untuk dinikmati golongan berpendapatan rendah atau dijual kepada kumpulan sasaran jika ia dijual di pasar raya besar," katanya.
Nur Jazlan berkata langkah itu penting untuk menjamin bekalan di pasaran sentiasa mencukupi terutama untuk keperluan golongan berpendapatan rendah.