Program 'Singgah KL' perkenal bangunan ikonik kepada orang ramai
Bernama
Oktober 5, 2019 18:50 MYT
Oktober 5, 2019 18:50 MYT
Tujuh bangunan ikonik yang direka oleh arkitek dan pereka landskap tempatan akan diperkenalkan khusus kepada orang ramai melalui program 'Singgah KL' esok.
Lawatan berpandu sehari itu, yang diadakan sempena Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019, merupakan inisiatif Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mempromosikan seni bina bandar melalui pengalaman atau meneroka.
Presiden PAM, Lilian Tay berkata idea bagi konsep rumah terbuka tahunan itu tercetus dari Open House London yang bermula pada 1992, sebagai menghargai dan meraikan reka bentuk arkitek tempatan.
"Tujuh bangunan iaitu PAM Centre; Rumah Tangsi; Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), International School of Kuala Lumpur (ISKL), Hotel Stripes, dan Pusat Genius Kurnia akan mengambil bahagian dalam acara itu.
"Para peserta boleh memilih Lawatan Berpandu yang akan diterajui oleh arkitek kami dari PAM untuk memperkenalkan dan membawa mereka melawat bangunan-bangunan tersebut, antaranya bangunan reka bentuk yang meraih anugerah PAM," katanya Pada Simposium Perumahan+Urbaniti (H+U2019) di sini, hari ini.
Simposium itu dilancarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Tay berkata melalui Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur, para peserta berpeluang untuk melawat beberapa bangunan bukan awam yang sering tidak dibuka kepada orang ramai.
"Beberapa bangunan itu mungkin tidak terbuka kepada orang awam ... tidak semuanya ialah bangunan awam tetapi sekarang bangunan itu dibuka kerana kami menggalakkan mereka (orang awam) datang dan mempelajari beberapa bangunan terbaik kami yang direka oleh arkitek dan pereka landskap tempatan.
"Kami berharap acara ini dapat dijadikan acara tahunan atau setiap suku tahun atau setiap bulan berdasarkan maklum balas peserta," katanya.
Sementara itu, Nor Hisham berkata selain bangunan-bangunan rekaan moden, program itu turut akan membawa peserta-peserta meneroka bangunan-bangunan bersejarah terpilih di sekitar ibu kota.
"Misalnya, bangunan-bangunan warisan di sepanjang Jalan Raja dan belakang Masjid Jamek iaitu River of Life (RoL) akan dinaiktaraf bagi memperbanyakkan tempat-tempat riadah untuk pengunjung serta meningkatkan imej 'smart city' kepada masyarakat umum," katanya.
Bertemakan 'ICON', H+U2019 tahun ini meneroka konsep dan idea yang disertai oleh kira-kira 500 pemimpin, pengurus bandaraya dan pengamal dalam membentuk bandar dan komuniti.
-- BERNAMA
#Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019
#DBKL
#Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
#PAM
#Pertubuhan Arkitek Malaysia
#singgah KL