Program setahun bersama Kerajaan MADANI: Prasarana tawar diskaun 25 peratus
Bernama
Disember 6, 2023 17:55 MYT
Disember 6, 2023 17:55 MYT
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menawarkan diskaun hingga 25 peratus untuk perkhidmatan rel dan transit aliran bas (BRT) dari atau ke Stesen LRT Bukit Jalil, bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Dis ini.
Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan diskaun itu layak untuk semua penumpang yang membeli token atau yang menggunakan kad Touch 'n Go untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil atau pulang dari stesen berkenaan.
"Bagaimanapun, diskaun ini tidak termasuk pengguna yang menggunakan pas-pas perjalanan serta kad-kad konsesi sedia ada," menurut kenyataan itu.
Selain itu, sebanyak 10 bas perantara percuma turut disediakan untuk ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu dari lokasi MRANTI Park (Zon A), Astro Bukit Jalil (Zon B), Pavilion Bukit Jalil (Zon C) dan Perhentian Bas Endah Parade (Zon D).
Jadual perkhidmatan bas perantara percuma itu ditetapkan pada 7 pagi hingga 6 petang pada 8 Dis, 7 pagi hingga 11.30 malam (9 Dis) dan 7 pagi hingga 8 malam (10 Dis).
Prasarana dalam kenyataan itu juga mengingatkan penumpang yang menggunakan kad Touch 'n Go supaya memastikan kad mereka mempunyai baki sekurang-kurangnya RM10 bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan masuk serta keluar stesen.
Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh menggunakan aplikasi PULSE atau layari media sosial rasmi Rapid KL serta laman web www.myrapid.com.my.
-- BERNAMA