Program sekolah seni Malaysia diperluas ke Perak tahun ini
Bernama
Januari 3, 2016 10:03 MYT
Januari 3, 2016 10:03 MYT
Program Seni Pendidikan, yang merupakan antara program Sekolah Seni Malaysia (SSeM), akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah, Sungai Siput, Perak bagi zon utara pada tahun ini.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof memberitahu Bernama, program itu, yang menekankan kepada pendidikan seni visual, muzik, teater serta pengurusan seni akan dimulakan dengan 50 orang pelajar Tingkatan Satu di sekolah itu.
Langkah Jabatan Pelajaran mengadakan program daripada mewujudkan sebuah sekolah seperti yang diadakan di Sarawak, Johor dan Selangor adalah untuk melihat sambutan serta kemampuan pelajar dalam bidang tersebut, katanya.
"Program ini akan dikawal selia oleh jabatan dengan bantuan Unversiti Teknologi Mara (UiTM).
"Jika sambutan menggalakkan dan prestasi pelajar memberangsangkan, sekolah ini akan dijadikan sekolah seni," katanya kepada Bernama.
Khair berkata sambutan daripada pelajar lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk menyertai SSem ini amat menggalakkan.
Secara keseluruhan, pada tahun ini 270 pelajar SSeM yang telah dipilih akan memulakan sesi pembelajaran mereka pada Rabu ini di empat negeri.
"Seramai 75 pelajar di SSeM Johor, 85 di SSeM di Sarawak dan 60 orang lagi di SSeM di Kuala Lumpur, serta 50 pelajar di Perak," katanya.
Beliau berkata pelajar ini adalah antara mereka yang membuat permohonan melalui portal rasmi kementerian dan permohonan dibuka pada 26 Mei lepas hingga 5 Sept untuk kemasukan ke SSeM tahun ini.
Selain mata pelajaran seni, pelajar ini tetap diajar mata pelajaran teras, katanya.
Sejak 2007 hingga tahun lepas, seramai 1,472 murid mendaftar dan mengikuti pembelajaran di SSeM.