Program Sekolah Amanah: Lonjak sekolah cipta sejarah tersendiri
Abd Razak Mohd Ali
Jun 16, 2022 15:30 MYT
Jun 16, 2022 15:30 MYT
MANJUNG: Program Sekolah Amanah telah membantu melonjak sekolah-sekolah terpilih untuk mencipta sejarah tersendiri yang belum pernah mereka kecapi sebelum ini.
Pencapaian bukan sahaja di dalam bidang akedemik, malah dalam bidang-bidang lain, termasuk hal ehwal pelajar dan ko-kurikulum.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Sahila Shukor berkata, selepas menyertai program Sekolah Amanah, peningkatan prestasi para pelajar sangat menyerlah.
"Apabila SMK Seri Samudera dipilih sebagai sebuah Sekolah Amanah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2017, lima tahun itu kita berusaha untuk mencapai akreditasi sebagai Sekolah Amanah dan hasilnya pada hari ini kita melihat pelbagai kejayaan lah di peringkat daerah, negeri dan antarabangsa dalam kalangan pelajar.
"Jadi kemenjadian murid tu sangat terserlah. Sebagai contohnya pada tahun 2020, bagi pencapaian SPM, SMK Seri Samudera telah mendapat 100 peratus lulus. Dan pada tahun ini kami berharap kecemerlangan bagi semua dalam pendidikan, terutama akademik, hal-ehwal murid, dan juga ko-kurikulum ini dapat kita teruskan kecemerlangannya dan kita dapat lestarikan budaya sekolah amanah," katanya.
Sahila ditemui sempena kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan berangkat melawat SMK Seri Samudera, di sini pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud.
Menurutnya lagi, dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, buat pertama kalinya dua pelajar memperolehi semua 9A dan 10 pelajar lagi mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi sekurang-kurangnya 5A.
Antara sejarah lain yang dicipta SMK Seri Samudera ialah dua pelajarnya berjaya menyertai World Robotic Olympiad Peringkat Antarabangsa serta 10 orang pelajar berjaya menyertai Universal Robotic Challenge 2021.
Setakat ini terdapat 94 buah Sekolah Amanah di seluruh negara dimana enam daripadanya di negeri Perak.
Sempena lawatan itu, Raja Permaisuri Perak turut mendengar taklimat mengenai Sekolah Amanah daripada wakil LeapEd Service Sdn Bhd, yang membimbing dan menyelia program tersebut.
Baginda turut melawat Kelas Pendidikan Khas dan Kelas Kompetensi Struktur Pembelajaran Koperatif (CLS) pembelajaran Tingkatan 5.