Program sarapan percuma, rasuah kontrak AP antara tumpuan Parlimen hari ini
Bernama
Oktober 8, 2019 06:18 MYT
Oktober 8, 2019 06:18 MYT
Mekanisme pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua pelajar sekolah rendah yang dirancang bermula tahun depan, adalah antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, ia dibangkitkan pada soalan kedua sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan oleh Sabri Azit (PAS-Jerai) yang meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.
Selain itu, turut dijangka menghangatkan persidangan adalah penjelasan berhubung langkah kerajaan berkaitan ketirisan dan unsur rasuah pada pemberian kontrak dan pengagihan AP yang dibangkitkan Pang Hok Liong (PH-Labis) kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dalam pada itu, turut dijangka mencuri perhatian adalah soalan dari Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan jika terdapat sebarang keperluan untuk mengubah sistem dan operasi sedia ada bagi permohonan Mykad sebagai salah satu langkah mengelakkan kes penjualan kad pengenalan kepada warga asing berulang.
Usai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pula pada perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 selepas dibentangkan kali pertama semalam.
Untuk rekod, ini percubaan kali kedua kerajaan membentangkan rang undang-undang itu selepas ia ditolak Dewan Negara pada September lepas sekalipun telah diluluskan Dewan Rakyat.
Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat
#Kementerian Pendidikan
#pemberian kontrak
#pengagihan AP
#program sarapan percuma
#Sabri Azit