Program Sambung Yang Tergendala akan diperluas - Shahril Hamdan

Astro Awani
April 11, 2021 16:43 MYT
Shahril menjelaskan selepas ini pihaknya mungkin akan turun ke lapangan bersama kumpulan sasar lain dan bukannya terhad di dalam dewan semata-mata. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Program Sambung Yang Tergendala edisi kedua yang dianjurkan pada Sabtu sarat dengan pelbagai lontaran dan idea daripada peserta.
Menurut Ketua Penerangan UMNO yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan, maklum balas tentang program berkenaan juga memberikan input yang baharu terhadap kumpulan sasar dan sebagainya.
"Pendidikan juga akan kita sentuh, soal pertanian, digital juga kita kena sentuh dan apa yang kita mahu buat untuk menjayakannya, kembali bercakap tentang dasar supaya sebarang perbahasan kita baik dalam soal politik sekali pun akan berasaskan perbezaan pandangan termasuklah dalam soal dasar negara dan benda itu mungkin sedikit tergendala," katanya kepada media selepas sesi townhall.
Beliau menjelaskan untuk sesi selepas ini, pihaknya mungkin akan turun ke lapangan bersama kumpulan sasar dan tidak lagi hanya fokus kepada program dalam dewan.
"Kita tidak hanya boleh buat dalam dewan dan mungkin akan kena turun ke lapangan bersama kumpulan sasar. Mungkin dengan graduan yang menganggur, mungkin ada sesi dengan Food Panda Delivery dan sebagainya, mungkin juga dengan generasi ketiga Felda.
"Semua ini kita mahu rangkumkan dalam satu jelajah yang lebih komprehensif supaya tawaran politik esok yang insya Allah kita akan laksanakan sudah teruji dengan ‘ground’ dan mendapat maklum balas yang sepenuhnya," katanya.
Terdahulu beliau bersama para peserta yang lain mengupas topik Jaminan Pendapatan Kehidupan menerusi slot #SambungYangTergendala, yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail di sini.
Dalam sesi townhall, Shahril menjelaskan cadangan Jaminan Pendapatan Kehidupan bukanlah satu perkara yang dirasakan cukup sukar untuk dilaksanakan kerana hari ini rata-rata kerajaan juga memberikan tunai dan sebagainya kepada rakyat.
#Shahril Hamdan #UMNO #Sambung Yang Tergendala #townhall #ketua penerangan #naib ketua pemuda
;