Program 'saintis turun ke sekolah' dijangka bermula bulan ini - MOSTI
Bernama
Ogos 23, 2024 18:20 MYT
Ogos 23, 2024 18:20 MYT
GEORGE TOWN: Program "STI 100 on the Power of Three" (STI 1003) yang melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari tempoh pelaksanaan dijangka bermula bulan ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menterinya Chang Lih Kang berkata pihaknya mahu mempercepat pelaksanaan program berkenaan bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengambil kira manfaat yang dapat diberikan kepada para pelajar dan negara.
"Untuk tempoh 100 hari, kami akan melaksanakan program ini di 100 buah sekolah. Kami sudah ada semua perancangan serta mendapat kerjasama dan kebenaran Kementerian Pendidikan.
"MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) juga bersedia dengan senarai calon saintis di bawah kelolaan ASM dan kami jangka untuk mula bulan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara (MSN) 2024 di Sekolah Menengah Han Chiang di sini hari ini.
Beliau berkata senarai saintis tempatan ini bukan sahaja terdiri penyelidik malah turut membabitkan pengamal pelbagai industri termasuk bioteknologi, angkasa dan nanoteknologi.
Beliau berkata program STI 1003 ini akan dijalankan bersama-sama dengan program seperti AI untuk Belia, MSN dan Kem STEM.
"Program ini tiada sukatan pelajaran khas kerana para saintis ini akan dijemput untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar.
"Kami akan menggabungkan program STI 1003 dengan program sedia ada, sebagai contoh apabila kami menganjurkan Kem STEM, saintis ini akan diundang untuk memberi ceramah kepada pelajar
Belai berkata program seperti ini ialah usaha MOSTI dalam menyemarak serta mempergiat aktiviti pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat, khususnya kepada golongan pelajar serta belia melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal dan di luar bilik darjah.
-- BERNAMA