Program Ramalan dan Amaran Banjir fasa dua dijangka siap sepenuhnya pada 2025
Bernama
Mac 30, 2023 16:00 MYT
Mac 30, 2023 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) fasa dua melibatkan 38 lembangan sungai utama dijangka siap secara berperingkat dan akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara pada 2025.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata program ini bertujuan untuk membangunkan sistem yang berupaya meramal banjir tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan hebahan amaran banjir dua hari lebih awal.
"Berdasarkan perancangan, projek ini meliputi 41 lembangan sungai utama di seluruh negara dan mempunyai dua fasa dengan fasa pertama melibatkan tiga lembangan sungai utama iaitu Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Pahang telah beroperasi pada 2017," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Seruandi Saad mengenai langkah proaktif yang diambil kementerian bagi mengatasi masalah banjir di Malaysia yang saban tahun melibatkan kerugian hampir RM300 bilion.
Huang berkata Jabatan Pengairan dan Saliran juga sedang membina 526 stesen siren amaran banjir secara berfasa di seluruh negara yang bertujuan memberi amaran kepada orang ramai supaya bersiap sedia untuk berpindah atau ke kawasan selamat sekiranya berdepan dengan bencana berkenaan.
"Stesen ini ditempatkan di lokasi hotspot banjir seluruh negara dan amaran awal banjir akan dikeluarkan kepada penduduk di kawasan akan terjejas," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga turut mempertimbangkan kaedah sistem pesanan ringkas (SMS) diikuti siren dan hebahan suara untuk meningkatkan lagi kecekapan penyampaian hebahan amaran banjir.
-- BERNAMA