Program Ramah Tamah UNITI Kaamatan, Gawai peluang kongsi budaya - Peserta

Ehsan A Marisah
Jun 25, 2022 21:07 MYT
Dari kiri: Ditah Mosito, Ihsan Uddin Morni dan Asstycory Undoi. - Foto Astro AWANI
SERI KEMBANGAN: Gembira dan teruja dapat berkongsi budaya masyarakat Sabah dan Sarawak dengan masyarakat di Semenanjung.
Itu antara perkongsian beberapa peserta yang mengikuti Program Ramah Tamah UNITI Kaamatan dan Gawai anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) di The Mines 2, Seri Kembangan hari ini.
Peserta berasal dari Sabah, Ditah Mosito, 37, berkata, dia teruja memperkenalkan keunikan negeri kelahirannya itu kepada masyarakat di Semenanjung.
"Adanya program seperti ini, khususnya di bawah kerjasama KPN, kami (peserta) dapat memperkenalkan kebudayaan ke seluruh negara.
“Masyarakat juga akan dapat mengetahui kepelbagaian etnik dan kaum terdapat di Malaysia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Selain itu, peserta berasal dari Sarawak pula, Ihsan Uddin Morni, 35, menzahirkan rasa bangga kerana boleh berkongsi dan mempelajari pelbagai menu masyarakat setiap negeri.
“Memang sangat bagus inisiatif ini kerana dapat memperkenalkan makanan setiap etnik, bukan sahaja setiap negeri.
“Kita juga boleh berkongsi makanan lain dan boleh mengetahui citarasa mereka," ujarnya.
Peserta busana tradisional Borneo, Asstycory Undoi, 21, berkata dia berasa bangga dapat memperagakan busana tradisionalnya kepada umum.
Katanya, dia berharap agar program seumpama itu diteruskan sekali gus mengukuhkan ukhuwah masyarakat.
"Perasaan saya memakai baju tradisional dalam program ini membuatkan saya gembira kerana dapat tunjukkan keunikannya kepada semua orang.
"Saya harap kita dapat sama-sama meraikan suasana ini supaya hubungan kita akan lebih erat antara satu sama lain," jelasnya.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, program itu bertepatan dengan agenda Semarak UNITI Keluarga Malaysia di samping memberi peluang kepada masyarakat di seluruh negara, khususnya di Semenanjung menghayati kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak.
#perpaduan #Sabah #Sarawak #halimah sadique
;