Program Pra Tahfiz Kemas mampu lahirkan murid prasekolah kuasai 4M
Bernama
Mei 3, 2024 11:10 MYT
Mei 3, 2024 11:10 MYT
KUALA TERENGGANU: Program Tabika Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang bermula secara rasmi tahun ini mampu melahirkan murid prasekolah yang menguasai 4M iaitu mengaji, menghafal, menaakul (membuat pertimbangan) dan mengambil ibrah (pengajaran).
Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata modul Pra Tahfiz yang dilaksanakan kerajaan itu merupakan pelengkap kepada kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang perlu dipelajari murid-murid prasekolah.
"Selain anak-anak dapat menguasai 3M, kita menyasarkan anak-anak boleh mengaji dengan baik, menghafaz surah-surah lazim, boleh menaakul atau membuat pertimbangan dengan baik, dan mengambil ibrah atau pengajaran tentang segala yang dipelajari.
"Apa yang paling penting, anak-anak ini bukan sekadar cemerlang dari segi akademik, namun kita juga mahu menyediakan mereka yang berumur seawal lima dan enam tahun ini untuk menjadi insan yang mempunyai akhlak terpuji," katanya ketika ditemui Bernama di Tabika Kemas Lorong Gemia di sini.
Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas.
Program yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu disertai sebanyak 10,843 Tabika Kemas di seluruh negara dengan kurikulum sedia ada akan diperkukuh dan dimasukkan program baharu agar ilmu berkaitan akidah, ibadah, solat dan keagamaan dapat diterapkan di peringkat tabika.
Faridah berkata murid-murid yang mengikuti program Pra Tahfiz itu juga disasarkan untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran dan menghafaz surah-surah lazim sebelum mereka memasuki sekolah rendah.
Katanya, daripada 856 kelas tabika di Terengganu, 450 daripadanya telah melaksanakan program Pra Tahfiz termasuk kelas Tabika Kemas Lorong Gemia.
"Setiap pagi, anak-anak di tabika akan 'disuburkan' dengan bacaan al-Quran yang membuatkan hati mereka terang dan mudah menerima segala ilmu yang diajarkan," katanya.
Faridah berkata sebelum Program Pra Tahfiz diperkenalkan, Kemas Terengganu telah mempelopori penghayatan Pendidikan Islam khususnya al-Quran sejak 2007 lagi iaitu melalui Program Pintar al-Quran yang kini disebut sebagai Program Mus'ab bin Umair.
"Program berkenaan diperkenalkan Menteri Besar Terengganu pada waktu itu iaitu Tan Sri Idris Jusoh yang menekankan kepentingan anak-anak prasekolah untuk menguasai bacaan al-Quran. Jadi, Program Pra Tahfiz ini merupakan pelengkap kepada program yang telah kita ada di Terengganu kerana anak-anak bukan sahaja akan boleh membaca al-Quran dengan lancar, tetapi juga mereka mampu menghafaz surah-surah," katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan keberkesanan Program Pra Tahfiz, para guru juga telah disaring terutama penguasaan bacaan al-Quran mereka supaya hanya yang mempunyai kemahiran dipilih untuk mengajar murid membaca dan menghafaz ayat-ayat suci al-Quran.
Selain itu katanya, guru-guru yang terpilih turut diberikan kursus secara berperingkat dan berterusan bagi memastikan mereka mahir dan menguasai dengan baik modul Pra Tahfiz berkenaan.
"Kita harap program sebagus ini akan sentiasa diteruskan dan bagi Kemas Terengganu, kita harapkan semua 856 kelas tabika ini diberi kuota supaya lebih ramai anak-anak dapat mengikuti Program Pra Tahfiz," katanya.
-- BERNAMA