Program PPV Outreach bantu lebih tiga juta terima booster - ProtectHealth
Astro Awani
Disember 7, 2021 22:51 MYT
Disember 7, 2021 22:51 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak lebih tiga juta dos penggalak vaksin COVID-19 telah diberikan di negara ini dengan 63 peratus daripadanya melalui pengamal perubatan swasta.
Ketua Pegawai Eksekutif Protecthealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, pelaksanaan konsep Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan suntikan booster tersebut.
“Setakat hari ini, lebih tiga juta dos penggalak vaksin tealh diberikan dan 63 peratus daripadanya adalah melalui pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan ProtectHealth.
“Di Pusat Penyiaran Astro, di Bukit Jalil hari ini, ia adalah salah satu daripada lebih 50 PPV berjenis ‘outreach’ di mana PPV itu dibuka dengan sasaran penerima vaksin tertentu untuk jangka masa tertentu.
“Bagi PPV di Astro ini, ia akan dibuka untuk satu minggu mensasarkan lebih 3,000 hingga 4,000 staf Astro dan ahli keluarga warga Astro
“Kita akan buka lebih banyak PPV berkonsep outreach di seluruh negara untuk masa-masa akan datang,” jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di PPV Pusat Penyiaran Astro, di sini, pada Selasa.
Dr Anas turut menasihatkan orang ramai yang sudah menerima janji temu suntikan dos penggalak agar tidak melepaskan peluang tersebut.
“Saya juga ingin mengambil peluang untuk menggesa dan menyeru semua yang telah meneirma janji temu dos penggalak untuk hadirkan diri terima dos penggalak.
“Bagi yang belum terima janji temu, tetapi sudah layak untuk terima dos penggalak, bolehlah mendaftarkan diri di dalam senarai penunggu penerima vaksin,” tambah beliau.