Program PERMATA Negara pastikan kanak-kanak B40 dapat pendidikan awal berkualiti

Astro Awani
Julai 26, 2024 10:04 MYT
Setiausaha Bahagian PERMATA KPM, Dr. Normas Awang (kiri) dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian PERMATA KPM, Rohaniah Ngateni dalam temu bual Agenda AWANI yang disiarkan baru-baru ini - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Program PERMATA Negara yang ditubuhkan sejak 2008 bertujuan memastikan kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah mendapat asuhan dan pendidikan awal yang berkualiti serta tidak tercicir dalam mencapai kecemerlangan.
Setiausaha Bahagian PERMATA Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Normas Awang berkata sehingga kini sebanyak 89 buah Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) telah dibina di seluruh negara meliputi kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Selain itu beliau berkata, sebanyak tujuh inisiatif dilaksanakan di bawah Program PERMATA iaitu PERMATA Negara; PERMATA@Pintar; PERMATA Insan; PERMATA Seni; PERMATA Remaja; PERMATA Kurnia; serta PERMATA STEM Talent.
Menurut beliau lagi, Pusat PERMATA Kurnia memberikan intervensi awal kepada kanak-kanak autistik berumur dua hingga enam tahun.
"Setakat ini terdapat dua sahaja Pusat PERMATA Kurnia iaitu di Sentul dan Putrajaya. Oleh itu, KPM bercadang untuk menubuhkan Pusat PERMATA Kurnia di seluruh Malaysia.
“Secara keseluruhannya, program-program PERMATA ini merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan kebangsaan dan merupakan kesinambungan pendidikan kanak-kanak sejak lahir hingga dewasa seterusnya memastikan bahawa tidak ada kanak-kanak yang tertinggal dalam mencapai kecemerlangan," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan baru-baru ini.
Jelas beliau program-program PERMATA juga ditubuhkan dengan hasrat untuk mengalu-alukan kanak-kanak dan remaja daripada setiap lapisan kaum, dengan matlamat menyediakan platform yang dapat mencungkil potensi dan menggilap bakat mereka.
Normas menambah, pada tahun ini terdapat seramai 3,221 orang kanak-kanak sedang mengikuti pembelajaran di Pusat Anak PERMATA Negara seluruh negara, yang dikendalikan oleh 490 orang pendidik yang mempunyai kelayakan di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian PERMATA KPM, Rohaniah Ngateni berkata keistimewaan program PERMATA Negara antaranya kerana ia menyediakan pendidikan secara percuma bagi membolehkan kanak-kanak dalam kumpulan berkenaan mengikuti pembelajaran sambil bermain dan menerokai aktiviti-aktiviti kegemaran.
Dalam masa yang sama, beliau berkata program tersebut turut menggalakkan penglibatan ibu bapa bagi mewujudkan kesinambungan dalam aktiviti perkembangan kanak-kanak di rumah dan kerjasama antara pendidik serta komuniti setempat.
"Kelebihan lain yang ada pada Program PERMATA Negara ialah penggunaan Kurikulum Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang telah dibangunkan pada tahun 2008 yang mempunyai enam bidang perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
"Kurikulum ini juga telah diperluaskan ke semua taska Kerajaan termasuk Taska KEMAS, Taska JKM, Taska PERPADUAN dan juga taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)," katanya.
Rohaniah juga memaklumkan bahawa enam bidang perkembangan utama di bawah kurikulum ini adalah perkembangan fizikal dan psikomotor; perkembangan awal matematik dan pemikiran logik; perkembangan deria dan pemahaman dunia persekitaran; perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal; perkembangan kreativiti dan estetika; serta perkembangan sahsiah, sosio-emosi dan kerohanian.
Permohonan kemasukan program PERMATA Negara dibuka mulai 1 Jun hingga 30 September depan bagi pengambilan sesi 2025/2026.
Borang permohonan boleh dimuat turun di laman sesawang KPM https:www.moe.gov.my atau mendapatkan borang tersebut daripada 89 buah PAPN yang terdekat dengan kediaman masing-masing.
#Program Permata Negara #Kementerian Pendidikan #Permohonan kemasukan PERMATA Negara #Normas Awang