Program Permata dijenama semula, kini digelar 'Genius' -Maszlee
Shuhada Abdul Kadir
April 15, 2019 17:35 MYT
April 15, 2019 17:35 MYT
Program Permata Negara (Permata) akan dijenamakan semula dengan menggunakan nama ‘Genius’ bagi menjadikan program berkenaan lebih berdaya saing.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, terdapat beberapa program akan dipertingkatkan dari segi kualitinya meskipun fungsi dan peranan asalnya masih lagi sama.
“Kabinet bersetuju menukar permata kepada ‘Genius’. Pertukaran nama tersebut diputuskan oleh Kabinet untuk memberikan satu jenama baru, rebranding agar ianya lebih berdaya saing, bersemangat.
“Tetapi ada beberapa program di bawah Permata yang diberikan kepada USIM dan ada program disekalikan. Yang penting dibawah nama ‘Genius’ ini program akan lebih ditingkatkan kualiti,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas cadangan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye agar sekolah berusia melebihi 15 tahun perlu melakukan audit keselamatan setiap tahun, beliau berkata kementerian menyambut baik saranan berkenaan.
Kata beliau, ianya merupakan suatu cadangan yang baik dan akan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.