Program perkelahan sekolah tahfiz berakhir tragedi, pelajar ditemui lemas

Junaidi Ladjana
Mac 29, 2021 13:54 MYT
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun terbabit dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras. - Gambar fail/Astro AWANI
TUARAN: Program perkelahan sebuah sekolah tahfiz di Disan Baang, Sungai Kiulu, Tamparuli, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada rombongan pelajar terbabit meninggal dunia akibat lemas, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun terbabit dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras.
Rakan-rakan mangsa dikatakan cuba membantu menyelamatkannya namun gagal disebabkan arus yang terlalu deras.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, sebaik kejadian berlaku, semua pelajar-pelajar sekolah tahfiz dari Papar itu terus membuat pencarian di sepanjang tepi sungai berkenaan.
Katanya, mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dikatakan hanyut sebelum membuat laporan polis.
“Mangsa dibawa ke Pusat Kesihatan Kecil Kiulu kira-kira jam 7.30 pagi untuk pemeriksaan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi.
#lemas #Program perkelahan #sekolah tahfiz #pelajar sekolah tahfiz #meninggal dunia #mayat #mati lemas #Kiulu #Tuaran
;