Program penggajian dan penempatan semula PATI di Sabah mulai esok

Bernama
Februari 14, 2017 08:52 MYT
Imigresen Sabah akan melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) di Sabah selama enam bulan, bermula esok. - Gambar hiasan
Jabatan Imigresen Sabah akan melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) (Program Rehiring) di Sabah selama enam bulan, bermula esok.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman berkata program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia, khususnya di Sabah, diberikan permit kerja sah bagi menangani masalah kekurangan pekerja di sektor-sektor pekerjaan yang dibenarkan.
Katanya program berkenaan juga akan membolehkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar PATI di dalam negara untuk tujuan pemantauan dan memenuhi keperluan senario keselamatan negara.
"Program 'Rehiring' akan dilakukan dengan berhati-hati dan terkawal supaya tidak berlaku kes-kes penipuan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil peluang mengaut keuntungan daripada PATI. Bagi tujuan ini, kerajaan negeri mengenakan syarat ketat terhadap PATI dan majikan untuk menyertai Program Rehiring," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Musa antara syarat yang perlu dipatuhi PATI ialah mempunyai rekod kemasukan asal secara teratur ke Malaysia iaitu mereka yang tinggal lebih masa atas Pas Lawatan (Kerja Sementara) dan sedang bekerja dengan majikan yang sama.
Katanya syarat lain ialah PATI berkenaan juga telah tinggal lebih masa atas Pas Lawatan (Kerja Sementara) dan sedang bekerja dengan majikan baharu dan PATI yang tinggal lebih masa atas Pas Lawatan (Sosial) dan sedang bekerja dengan majikan dan kesemua PATI berkenaan mesti bebas daripada rekod jenayah.
Menurutnya pelaksanaan Penggajian dan Penempatan Semula PATI berkenaan juga tertakluk kepada sektor yang dibenarkan sahaja iaitu sektor pertanian, perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.
"Program ini hanya melibatkan dua warganegara sahaja iaitu Indonesia dan Filipina. Bagi melaksanakan program Rehiring ini, kerajaan negeri (Sabah) telah melantik Syarikat Inti Padu Technology untuk melaksanakan pendaftaran program Penggajian dan Penempatan Semula PATI di Sabah," katanya.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Kota Kinabalu setiap hari bekerja dari 8.30 pagi hingga 5 petang melalui talian 088-488586/088-488775 dan Syarikat Inti Padu Technology di talian 088-201418/088-201419.
-- BERNAMA
#Imigresen #pati #Program Rehiring