Program pengasingan sisa pepejal masih kurang mendapat sambutan rakyat
Bernama
November 27, 2019 11:16 MYT
November 27, 2019 11:16 MYT
Program pengasingan sisa pepejal di punca yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan, dengan hanya 28 peratus penduduk Kuala Lumpur melaksanakannya, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Mohd Zahir Shari.
Beliau berkata: "Masalah utama adalah sikap rakyat sendiri yang masih lagi membuang sampah tanpa melihat komposisi sampah itu sama ada ianya sisa makanan atau kaca."
Walaupun tindakan denda dikenakan ke atas pihak-pihak yang melanggar Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, ianya masih tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada masyarakat, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi pemilik rumah di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang gagal buat kali pertama untuk mengasingkan sisa pepejal di punca dikenakan kompaun RM50, katanya.
Beliau berkata Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang dikuatkuasakan 1 Jun 2016 meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, mewajibkan pengasingan sisa pepejal mengikut jenis komposisi seperti kertas, plastik, sisa kebun, sisa pukal dan lain lain bahan yang boleh dikitar semula.
Mohd Zahir berkata dengan pengasingan sisa pepejal, jumlah sampah yang dibuang dapat dikurangkan dan secara tidak langsung mengurangkan keperluan jumlah tapak pelupusan sampah.
Untuk itu, program pendedahan dan kesedaran untuk rakyat Malaysia mengasingkan sisa pepejal amat diperlukan, katanya.
Menurut laman web Swcorp, tahun ini sahaja, jumlah sampah yang dijana di seluruh negara telah mencecah 38,000 tan sehari berbanding 14,200 tan pada tahun 2005.
Sementara itu, bagi seorang warga Kuala Lumpur, Nia Hania Rafei, 23, berkata tindakan masyarakat yang tidak serius untuk mengasingkan sampah sisa pepejal adalah kerana ada yang menganggap ianya tidak penting atau kerana mereka tidak mempunyai masa.
"Saya melakukan kitar semula surat khabar pada setiap hujung minggu dan hasil pengasingan itu, saya berjaya mendapat pulangan berbentuk wang ringgit," katanya.
Sementara itu, Siti Norhawa Mohsin, 39, pula mencadangkan lebih banyak tong kitar semula disediakan, terutama di kawasan pusat membeli belah bagi memudahkan masyarakat menghantar sampah yang boleh dikitar semula.
Bagi juruteknik penyelenggaraan, Che Ghani Berahim, 50, pula berpendapat kempen kesedaran perlu diperbanyakkan dan tindakan undang-undang perlu diperketatkan.
-- BERNAMA
#buang sampah
#kaca
#Kesedaran
#kompaun
#komposisi sampah
#Kuala Lumpur
#Mohd Zahir Shari
#pengasingan sisa pepejal
#punca
#Putrajaya
#sambutan kurang memberangsangkan
#sikap rakyat
#sisa makanan
#sisa pepejal
#SWCorp
#tapak pelupusan sampah
#tong kitar semula