Program pengampunan perlu untuk saring pekerja tanpa izin - MMA

Bernama
Disember 7, 2020 21:13 MYT
Dr Subramaniam berkata ramai pekerja tanpa izin menguasai sektor pembinaan dan aktif di bandar-bandar utama dengan majoriti berada di Kuala Lumpur. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Program pengampunan imigresen perlu dilaksanakan terhadap pendatang tanpa izin di negara ini bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan wajib ujian COVID-19.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr M. Subramaniam berkata persatuan itu meminta Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia segera menangani masalah itu kerana sebilangan besar pekerja asing di negara ini mungkin tidak menjalani pemeriksaan wajib COVID-19.
"MMA bimbang tanpa program pengampunan, beribu-ribu pekerja tanpa izin yang berada di ibu negara mungkin tidak hadir untuk menjalani pemeriksaan kerana takut mereka akan ditahan.
"Ketakutan terhadap tindakan hukuman terhadap mereka atau majikan, boleh menyebabkan pekerja itu melarikan diri atau majikan menyembunyikan mereka dari pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya menurut laporan media, Malaysia mempunyai kira-kira 2 juta pekerja asing yang sah dan 3 juta pekerja tanpa izin.
Dr Subramaniam berkata ramai pekerja tanpa izin menguasai sektor pembinaan dan aktif di bandar-bandar utama dengan majoriti berada di Kuala Lumpur.
"Harus diingat adalah menjadi dasar kerajaan untuk menjalankan ujian COVID-19 terhadap semua pekerja asing, sehubungan itu, setiap usaha perlu dilakukan bagi memastijkan tiada yang ketinggalan," katanya.
"Kegagalan menguji pekerja tanpa izin yang begitu ramai boleh menyebabkan risiko meningkatnya kes COVID-19 dalam kalangan mereka dan seterusnya menyebabkan penyebaran jangkitan yang tidak dapat dikesan dalam masyarakat, '' katanya.
-- BERNAMA
#pengampunan imigresen #pendatang asing tanpa izin #COVID-19 #pemeriksaan wajib #Presiden Persatuan Perubatan Malaysia #MMA #Prof Datuk Dr M Subramaniam
;