Program Pencampuran Biodiesel Nasional bantu kurangkan 45 peratus karbon menjelang 2030 - Fadillah
Firdaus Azil
Oktober 3, 2023 13:55 MYT
Oktober 3, 2023 13:55 MYT
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Program Pencampuran Biodiesel Nasional oleh Kerajaan, bakal menjanjikan impak positif yang substantif kepada persekitaran negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, program itu mampu membantu merealisasikan ikrar Malaysia pada Persidangan Iklim 2015 (COP 21), untuk menepati hasrat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
Fadillah berkata, kajian saintifik membuktikan penggunaan biodiesel berasaskan sawit mampu mengurangkan gas rumah hijau, dan meningkatkan kualiti udara dengan cara mengurangkan polisiklik aromatic hidrokarbon (PAH), yang sering dikaitkan dengan pembakaran bahan api fosil.
“Tambahan pula, ia mengurangkan kebergantungan kita terhadap tenaga fosil, dengan menyediakan bahan alternatif yang mampan, dan akhirnya dapat diterjemahkan kepada simpanan pertukaran asing yang mencukupi melalui penambahan penggantian diesel dengan biodiesel tempatan.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi menganggap industri biodiesel sawit sebahagian komponen yang penting dalam industri minyak kelapa sawit. Pertumbuhannya dapat merangsang permintaan tempatan untuk minyak sawit mentah (CPO), dan membolehkannya menentukan harga sendiri berbanding mengikut trend pasaran,” katanya lagi.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Persidangan Biodiesel Sawit ke-4 di sini, pada Selasa.
Persidangan yang bertemakan ‘Balancing Carbon Neutrality, Energy Security & Social Impact’ selama dua hari bermula 2 Oktober itu, menghimpunkan pemain industri sawit dari serata ASEAN, dan negara-negara lain dalam berkongsi pandangan dan kepakaran untuk mewujudkan persekitaran lebih mampan dalam industri sawit.
Dalam pada itu, Fadillah turut menyempurnakan pelancaran B100 oleh Petronas, iaitu sejenis bahan api berteraskan biodiesel sawit khusus bagi penggunaan trak, salah satu kerjasama strategik antara KPK dan Petronas.
“Pencapaian ini menunjukkan semangat dedikasi Petronas terhadap agenda biodiesel Malaysia, dan menandakan status mereka sebagai syarikat tenaga pertama negara dalam menyediakan inisiatif seperti ini, terutamanya dalam kita meneroka dan memacu usaha mencapai penyelesaian bahan api rendah karbon.
“Baru-baru ini KPK dan Petronas turut mewujudkan pusat kutipan minyak masak terpakai (UCO) di beberapa stesen minyaknya yang terpilih, dengan rancangan untuk memperluaskannya lagi ke serata negara.
“Ini sekali lagi menandakan komitmen berterusan Petronas dalam menyumbang ke arah agenda biodiesel negara. Kementerian sangat menggalakkan syarikat-syarikat multinasional lain untuk sama-sama menggunakan bahan api bio untuk mencapai sasaran ESG dan inisiatif neutal karbon masing-masing,” katanya lagi.
#Program Pencampuran Biodiesel Nasional
#Fadillah Yusof
#Timbalan Perdana Menteri
#alam sekitar
#pengeluaran karbon