Program Pembelajaran Sepanjang Hayat perlu pendekatan holistik
Harits Asyraf Hasnan
April 13, 2021 17:06 MYT
April 13, 2021 17:06 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) perlu saling bekerjasama seiring usaha menangani isu pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.
Pensyarah (Pembangunan Belia), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata kedua-dua institusi itu menyediakan peluang dalam meningkatkan kemahiran belia.
Ujarnya, pendekatan menyeluruh dalam menggalakkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) amat penting supaya tidak ada individu sasar yang terpinggir.
"Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengambil peluang dan inisiatif mendekati golongan belia terutama di kawasan luar bandar untuk memastikan mereka mendapatkan peluang dan akses kepada pendidikan sepanjang hayat ini.
"Selain itu, pada masa sama, memudahkan mereka untuk mendapatkan maklumat seperti promosi, daripada peluang-peluang yang dibuka, maklumat-maklumat hebahan daripada persatuan belia, melalui universiti, secara tidak langsung akan memberi mereka peluang untuk mereka mengetahui tentang program ini," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman yang menggalakkan pelajar-pelajar lepasan universiti yang masih menganggur menyertai PSH agar mereka dapat menambah ilmu dalam usaha untuk mendapat pekerjaan.
Jelasnya, usaha itu secara tidak langsung meningkatkan kemahiran individu dari segi teknikal dan keusahawanan.
Mengulas lanjut, Mursyid yang juga Felo Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM berkata, cabaran ekonomi ketika ini menuntut supaya para graduan serta mereka yang menganggur mempunyai kemahiran yang diperlukan pasaran.
"Dengan adanya latihan sebegini, ia akan membolehkan graduan kita mampu berdaya tahan, dapat merebut peluang dan mengatasi cabaran sedia ada terutama berkaitan dengan keadaan semasa yang agak meruncing.
"Secara tidak langsung, mereka juga ada nilai tambah dan mereka juga bukan sahaja mampu untuk melakukan sesuatu di luar daripada keperluan dan kemahiran mereka, tetapi sebenarnya mereka juga dapat memenuhi keperluan yang diperlukan dalam suasana ekonomi yang meruncing ini," katanya.
PSH yang diperkenalkan sejak tahun 2002 merupakan kursus jangka pendek yang menawarkan pelbagai kemahiran kepada orang ramai, dan sehingga 31 Disember 2020, bilangan penyertaan PSH mencecah 2,968,966 peserta dengan penawaran 141,624 kursus.
Tahun lepas PSH telah disertai oleh 1,289 Orang Kurang Upaya (OKU), 1,583 ibu tunggal, 20,375 dari golongan miskin tegar, 47,590 orang belia, 2,711 warga emas dan 382 daripada komuniti orang asli.
Antara kursus kemahiran yang mempunyai penyertaan tertinggi pada tahun 2020 adalah katering dan sajian, komputer dan teknologi maklumat, pembangunan diri dan motivasi, grafik dan multimedia, perniagaan dan keusahawanan, jahitan dan pakaian, kecantikan dan dandanan, program industri, kerohanian dan keagamaan serta elektrik dan elektronik.
#pendidikan
#warga emas
#Program Pembelajaran Sepanjang Hayat
#pembelajaran sepanjang hayat
#PSH
#ekonomi
#penganggur
#pengangguran
#mencari kerja
#kemahiran belia