Program pembangunan kepimpinan, perkasa diri dalam memacu industri perniagaan - Irmohizam

Eton Khir
April 1, 2022 13:42 MYT
Pengajian ini mampu memperkasakan diri memacu perubahan dalam organisasi yang terlibat selain melaluinya juga kita dapat mengimbangi antara kehidupan kerja dan belajar - Pengarah Urusan (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Program pembangunan kepimpinan mampu membantu usaha Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, dalam mempersiapkan diri menjadi lebih dinamik dalam industri Acara Perniagaan (BE) di Malaysia.
Menurut Irmohizam, menerusi pengajiannya yang bermula pada 17 November 2021 dan tamat pada 8 Februari 2022, di Universiti Oxford, United Kingdom, banyak ilmu kepimpinan diperoleh.
"Hasil usaha dan titik peluh akhirnya membuahkan hasil kerana Alhamdulillah, saya baharu sahaja menamatkan Oxford Executive Leadership Programme di bawah Said School di Universiti Oxford yang berprestij.
"Pengajian ini mampu memperkasakan diri memacu perubahan dalam organisasi yang terlibat selain melaluinya juga kita dapat mengimbangi antara kehidupan kerja dan belajar," katanya.
Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, sememangnya menjadi satu tugas yang mencabar, namun beliau bersyukur kerana berjaya mengharungi cabaran termasuk menghadiri kuliah, mengambil bahagian secara aktif dalam kelas dan mendapat gred berdasarkan prestasi. Universiti Oxford, United Kingdom menjadi pilihan kerana ia merupakan institusi pendidikan tertua di England yang berprestij tinggi.
"Mode pengajian program ini adalah secara ‘coursework’, di mana antara tugasan yang perlu dipenuhi adalah menduduki peperiksaan dan menghantar tugasan mingguan tepat pada masa. Ia menjadi sebahagian daripada syarat program yang diikuti," katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang berminat dalam pengajian diharap mendapat kekuatan yang menjadi kunci untuk berjaya, selain terus yakin dan percaya kepada diri sendiri.
Beliau juga mengharapkan usaha ini dapat memberi impak yang baik dari segi kepimpinan dan penglibatannya sebagai Pengerusi Persidangan dan Pameran (C&E) Majlis Penasihat Anggota (MAC) World Trade Centers Association (WTCA); dan juga dalam industri BE di Malaysia sebagai Ahli Lembaga Penasihat Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan Dan Pameran Malaysia (MACEOS).
#Malaysia #United Kingdom #pendidikan #Irmohizam Ibrahim
;